HANYA tujuh daripada 150 penghantar makanan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) menerima faedah keselamatan sosial daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jumlah yang rendah itu menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja ekonomi gig sektor berkenaan bukanlah pencarum Socso dan tidak layak menikmati faedah sekiranya kehilangan kerja disebabkan kemalangan.
Mengulas trend semasa sejak tiga bulan lepas, Ketua Pengarah Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menggesa penyedia perkhidmatan penghantar makanan untuk memastikan pekerja mereka berdaftar sebagai pencarum.
Azman juga menggesa platform berkenaan mengambil peluang program khas ekonomi gig dilancarkan kerajaan bagi melindungi penghantar makanan mereka.
Data polis Wilayah Persekutuan mendedahkan sebanyak 150 penghantar makanan Foodpanda dan Grab Food terlibat dalam kemalangan antara 18 Mac sehingga 19 Jun lepas.
Daripada jumlah itu, empat kes melibatkan kematian.
“Kemalangan melibatkan penghantar Foodpanda dan Grab Food didedahkan statistik polis jelas menunjukkan sejumlah besar penghantar Foodpanda dan Grab Food tidak dilindungi skim Perkeso,” kata Azman kepada The Malaysian Insight.
“Perkeso menggesa penyedia platform perkhidmatan seperti Foodpanda, Grab Food dan lain-lain menggunakan insentif seperti Program Penjana Gig.”

Jelasnya, Program Penjana Gig bertujuan memastikan pekerja ekonomi gig dilindungi sekiranya kehilangan kerja kerana kemalangan.
Program Penjana Gig membolehkan pekerja gig seperti pemandu Foodpanda dan Grab Food untuk menerima perlinndungan percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SESSS) selama setahun di bawah Pelan 2 (caruman setahun berjumlah RM232.80 seorang), di mana kerajaan membayar 70% caruman dan 30% lagi oleh platform gig.
Ini bermaksud kerajaan menyumbang sebanyak RM163 untuk Pelan 2 SESSS dan platform gig hanya menyumbang RM69.80.
Menyentuh kejadian terbaru melibatkan pemandu penghantar makanan, Azman berkata enam penghantar Foodpanda dan seorang penghantar Grab Rider menerima Faedah Hilang Upaya Sementara di bawah SESSS.
Azman juga berkata antara 18 Mac dan 7 Julai, Perkeso membayar RM15,222 pampasan kepada tujuh penghantar perkhidmatan gig.
Faedah ini terpakai untuk pekerja sendiri yang terlibat dalam kemalangan ketika bekerja, tambahnya.
Setakat ini, 4,455 pekerja sendiri dalam sektor penghantaran barangan dan makanan sudah berdaftar dengan Perkeso.
Grab bekerjasama dengan Perkeso
Seorang jurucakap Grab berkata syarikat itu bekerjasama dengan Perkeso bagi memastikan pemandu dan rakan penghantarannya berdaftar dengan skim terpilih.
Gergasi platform pandu seru itu sudah menggunakan beberapa saluran komunikasi bagi menggalakkan rakannya mendaftar dengan skim Perkeso.
“Ia adalah sesuatu yang kami akan terus galakkan pemandu dan rakan penghantar kami untuk terlibat sama, kerana kami percaya penting untuk mereka mempunyai bentuk insurans lain bagi melindungi pendapatan dan keluarga mereka,” kata jurucakap itu.
.jpg)
Selain itu, Grab juga memastikan semua pemandunya dilindungi insurans peribadi sekiranya terlibat kemalangan.
“Insurans Kemalangan Peribadi Kumpulan kami melindungi semua pemandu GrabCar dan ia adalah insurans kemalangan peribadi pertama untuk pemandu dan penumpang dalam industri pandu seru, tanpa kos tambahan,” katanya lagi.
“Menerusi Kelab Grab kami, kami memperkenalkan pelan Insurans Faedah Grab Bulanan 24/7 di mana rakan aktif dan berprestasi tinggi dilindungi walaupun mereka tidak bekerja, terutama sekali sekiranya terlibat dalam kemalangan, kehilangan upaya fizikal atau nyawa atau untuk membantu pembayaran semula tuntutan perubatan.”
Grab juga memperkenalkan Insurans Perjalanan Peribadi Kemalangan untuk melindungi pemandu ketika penghantaran GrabFood dan GrabExpress. – 9 Julai, 2020.
Komen