Penjawat awam rayu KPM panjangkan cuti Aidiladha


Sheridan Mahavera

Takwim persekolahan baharu memendekkan cuti sekolah menyebabkan timbul bantahan guru dan ibu bapa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

GURU dan penjawat awam merayu Kementerian Pendidikan untuk mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolah sempena Hari Raya Aidiladha kerana mereka yang berada di Sabah dan Sarawak sudah membeli tiket penerbangan untuk kembali ke Semenanjung, kata Cuepacs.

Kesatuan sekerja perkhidmatan awam itu berkata, kumpulan penjawat awam itu sudahpun membatalkan rancangan balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri kerana kerajaan melarang perjalanan rentas negeri disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mat Nordin memberitahu The Malaysian Insight yang penjawat awam berkenaan berharap dapat pulang ke kampung pada Aidiladha yang jatuh pada 31 Julai dan 1 Ogos.

Menurut takwim persekolahan asal, perayaan itu jatuh ketika musim cuti sekolah bermula 25 Julai sehingga 2 Ogos.

Tetapi takwim baharu dikeluarkan KPM selepas mengambil kira penutupan sekolah kerana wabak Covid-19, mengurangkan jumlah hari cuti.

Takwim terbaru menyebut yang cuti Aidiladha kini hanya 31 Julai sehingga 1 Ogos dan tiada cuti tambahan.

“Mereka yang beli tiket berdasarkan tarikh lama perlu membatalkan tiket mereka atau beli tiket baharu yang sangat mahal,” kata Abdul Rahman kepada The Malaysian Insight.

Beliau menjangkakan jumlah guru dan penjawat awam yang terjejas berjumlah antara 2,000 dan 3,000 orang terutama penjawat awam dari Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Majoriti penjawat awam di Malaysia Timur masih orang Sabah dan Sarawak tetapi wujud jumlah besar orang Semenanjung.”

Ramai yang mahu balik kampung menyambut Aidiladha kerana tidak dapat beraya Aidilfitri disebabkan PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2020.

Penjawat awam dari Kelantan dan Terengganu terutamanya kecewa kerana perayaan Aidiladha disambut meriah di dua negeri Pantai Timur itu.

“Kami dapat banyak panggilan daripada mereka yang mahu kami melobi kementerian untuk mengembalikan semula cuti Aidiladha kerana mereka sudah beli tiket berdasarkan takwim persekolahan asal.”

Takwim persekolahan baharu itu juga mendapat kritikan guru dan ibu bapa yang merasakan perubahan mendadak itu menganggu kehidupan mereka.

Cuti pertengahan dan akhir tahun persekolahan misalnya dikurangkan kepada 13 dan 14 hari, berbanding jumlah asal 41 dan 42 hari.

Sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang cuti hujung minggu jatuh pada Jumaat dan Sabtu akan mendapat cuti 14 hari. Sekolah di negeri lain akan mendapat cuti 13 hari.

KPM meminda takwim persekolahan bagi menampung “kehilangan masa” apabila sekolah ditutup hampir tiga bulan dalam usaha negara mengekang penularan Covid-19.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga merayu supaya takwim persekolahan lama dikekalkan, berkata guru bekerja dua kali ganda ketika PKP bagi memastikan sesi pembelajaran dalam talian berjalan lancar.

Kumpulan ibu bapa turut mengadu yang keluarga sudah membuat rancangan percutian atau pulang ke kampung serta majlis perkahwinan yang diatur ketika musim cuti sekolah.

Abdul Rahman merayu KPM mengecualikan cuti Aidiladha sekiranya masih terus mahu memakai takwim persekolahan baharu.

“Penjawat awam tak boleh balik kampung ketika Aidilfitri kerana sekatan perjalanan.

“Jadi mereka bekerja keras dan buat rancangan untuk balik ketika Aidiladha. Kementerian perlu pertimbangkan perkara ini,” katanya. – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen