BELANJAWAN 2021 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini akan menekankan pendekatan pengubahsuaian dasar serta inisiatif kerajaan agar selari dengan cabaran mengharungi pasca pandemik Covid-19.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata tumpuan utama belanjawan itu adalah menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Sudah tentu dengan pasca-Covid-19, cabarannya berbeza kerana ia memberi satu pendekatan kepada kita bagaimana untuk mengubah suai semua polisi dan inisiatif supaya selari dengan cabaran tersebut,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada majlis penyerahan Sijil Piawaian Antarabangsa ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohamed Azmin menyaksikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Bhd, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani menyampaikan sijil tersebut kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Norazman Ayob.
Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Belanjawan 2021 akan meliputi empat tema utama iaitu mengambil peduli terhadap rakyat, memacu ekonomi, kehidupan yang mampan serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam. – Bernama, 8 Julai, 2020.
Komen