PRESIDEN Moon Jae In akan membuat pengumuman terperinci kepada umum minggu depan mengenai pakej “Perjanjian Baharu” yang bertujuan mewujudkan pekerjaan dan memupuk pertumbuhan ekonomi akibat impak pandemik Covid-19, kata Pejabat Presiden (Cheong Wa Dae) pada Rabu.
Beliau mendengar taklimat daripada Menteri Kewangan Hong Nam-ki mengenai skim “komprehensif” yang disebut Perjanjian Baharu versi Korea hari ini, lapor agensi berita Yonhap, menurut jurucakap pejabat presiden, Kang Min Seok.
Hong, yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk ekonomi, memberikan perincian rancangan itu, termasuk projek-projek khas dan anggaran perbelanjaan, yang dibuat dalam perundingan antara kerajaan, iaitu Parti Demokrat dan Pejabat Presiden.
Moon mengarahkan Hong membuat persediaan menyeluruh untuk acara “melaporkan rancangan itu kepada rakyat”, yang dijadualkan pada Isnin depan, tambah Kang.
Pada April, Moon mengumumkan desakannya untuk mendorong Perjanjian Baharu ketika mempengerusikan mesyuarat dewan ekonomi kecemasan kelima sebagai bertindak balas terhadap krisis Covid-19. Beliau mengemukakan idea untuk menumpukan pada pembangunan infrastruktur digital.
Moon kemudian mencadangkan untuk menambah Perjanjian Baharu Hijau ke dalam pakej itu sebagai satu tonggak lain bersama Perjanjian Baharu Digital yang dirancang untuk ekonomi Korea Selatan kurang bergantung pada bahan bakar fosil ke arah penggunaan tenaga yang lebih mesra alam.– Bernama, 8 Julai, 2020.
Komen