Azmin nafi tubuh parti baharu


Mohd Farhan Darwis

Azmin Ali hari ini menafikan beliau dalam usaha menubuhkan parti politik baharu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Julai, 2020.

BEKAS timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali menafikan beliau akan menubuhkan parti baharu yang didakwa untuk memberi ruang kepada pengikutnya dari parti dikuasai Anwar Ibrahim.

Menteri kanan perdagangan antarabangsa itu juga menjelaskan kenyataan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bahawa penubuhan parti tersebut masih belum diluluskan kerana tidak dimohon.

“Saya tidak tahu menahu tentang parti baharu, siapa kata ada parti baharu?

“RoS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) cakap macam itu sebab saya tidak pernah hantar permohonan,” kata Azmin ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur.

Ia merujuk laporan The Malaysian Insight yang memetik beberapa sumber yang mendakwa penyokong Azmin berusaha mendaftar sebuah parti baharu berbilang kaum.

Sumber menyebut, kelewatan kelulusan itu juga disebabkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang juga setiausaha agung Bersatu, tidak mahu parti tersebut berpecah belah.

Sumber berkata, Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak bersetuju dengan idea Azmin membentuk parti baharu untuk menarik penyokong dari PKR.

Sumber mendedahkan, Muhyiddin lebih suka jika parti baharu Azmin dibentuk selepas pilihan raya umum.

Dakwaan mengenai usaha penubuhan parti baharu itu bagaimanapun dinafikan RoS.

Azmin merupakan antara 10 ahli Parlimen PKR yang keluar parti dan membolehkan Muhyiddin menjadi perdana menteri dengan pakatan baharu dengan BN, PAS dan GPS.

Langkah membentuk parti baharu itu akan membolehkan Azmin memenuhi keperluan penyokongnya dari kalangan bukan Melayu.

Ini memandangkan golongan tersebut tidak dapat menyertai parti Melayu Bersatu. – 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen