PENGGUNA di bandar kedua terbesar di Australia mengosongkan rak-rak di pasar raya pada Rabu ketika berjuta yang lain di Melbourne bersiap sedia berdepan langkah pengurungan semula, dengan amaran sekatan baharu akan menelan belanja ekonomi sebanyak A$1 bilion seminggu.
Sebanyak 5 juta penduduk diarah tinggal di rumah selama enam minggu bermula tengah malam Rabu susulan penularan koronavirus di kalangan komuniti menyebabkan lebih 100 kes baharu setiap hari.
Sebanyak 134 jangkitan lagi dikesan dalam 24 jam tempoh terakhir - kecil berbanding puluhan ribu di beberapa negara yang lebih teruk seperti AS dan Brazil tetapi dianggap sebagai lonjakan besar di Australia, yang berjaya membendung Covid-19.
Rangkaian pasar raya terbesar di negara itu, Woolworths, berkata pihak mengenakan semula had pembelian barang termasuk pasta, sayur-sayuran dan gula selepas pembeli bergegas ke kedai di seluruh negeri Victoria.
Pakar memberi amaran semua penduduk perlu membiasakan diri dengan “norma baharu” sekatan on-and-off apabila kluster baharu muncul dan mereda, sementara ada juga kebimbangan mengenai kesan ekonomi dan kesihatan susulan langkah tersebut.
Bendahari Josh Frydenberg berkata penutupan Melbourne akan menelan belanja ekonomi hingga A$1 bilion (AS$700 juta) seminggu, memberitahu penyiar awam ABC ia akan memberi kesan besar kepada banyak perniagaan.
Restoran dan kafe akan terhad dibuka hanya untuk makanan bungkus, sementara gimnasium, salon kecantikan dan pawagam terpaksa ditutup sekali lagi.
Penduduk akan diarah tinggal di rumah kecuali untuk bekerja, bersenam, rawatan perubatan atau untuk membeli barang keperluan - kembali kepada pengasingan sosial yang baru saja ditarik balik.
Profesor Michael Kyrios, seorang pakar psikologi klinikal di Universiti Flinders memberi amaran yang Victoria perlu bersiap sedia menghadapi “krisis kesihatan mental”.
“Ini mungkin akan menjadikan sistem penjagaan kesihatan mental dalam keadaan tidak stabil dengan kemampuan yang sangat terbatas untuk menggerakkan sumber daya sebagai tindak balas terhadap peningkatan insiden penyakit mental yang timbul akibat krisis Covid,” katanya.
Perdana Menteri, Daniel Andrews pada Rabu mengakui kos untuk 6.6 juta penduduk Victoria, dengan berkata tugasnya memerlukan beliau mengambil keputusan yang sukar.
“Ini bukan situasi di mana seseorang mahu berada, tetapi inilah realiti yang harus kita hadapi,” katanya.
“Melakukan sebaliknya adalah berpura-pura bahawa ini tidak benar, berpura-pura kita mempunyai pilihan lain.”
Pihak berkuasa kesihatan berkata mereka sudah mengaitkan banyak kes di Melbourne dengan hotel menempatkan penduduk yang pulang dari luar negara dikuarantin.
Media tempatan melaporkan pengawal keselamatan melanggar protokol kawalan jangkitan - termasuk didakwa melakukan hubungan seks dengan tetamu yang diasingkan - menyebabkan kerajaan menukar kontraktor swasta dengan kakitangan penjara dan melancarkan siasatan.
Tetapi terdapat ada juga kebimbangan mengenai peningkatan penularan masyarakat di Melbourne, dengan hanya 11 kes baharu pada Rabu diketahui yang dikaitkan dengan wabak itu.
Kira-kira 3,000 orang di bandar ini dikurung di kediaman mereka sejak Sabtu susulan tindak balas koronavirus paling ketat di Australia selepas kluster baharu muncul di kawasan perumahan awam.
Sebanyak 75 kes dikesan di menara yang mempunyai berpenduduk padat semasa saringan besar dilakukan.
Deretan panjang kereta di sempadan Victoria pada Rabu selepas negeri jiran New South Wales menutup sempadan untuk pertama kalinya - pada dasarnya adalah untuk menutup negeri itu daripada seluruh Australia.
Keputusan yang diumumkan dengan tergesa-gesa itu menyebabkan penduduk bandar di sempadan berebut mendapatkan permit untuk rentas negeri untuk bekerja atau sebab penting yang lain, sementara mereka yang perlu bercuti sempena cuti sekolah bergegas pulang ke rumah.
Australia mencatatkan hampir 9,000 kes Covid-19 dan 106 kematian akibat virus tersebut. – AFP, 8 Julai, 2020.
Komen