Pakistan bimbang penularan Covid-19 semasa Aidiladha


Jemaah disembur pembasmi kuman sebelum memasuki masjid untuk solat sunat Aidilfitri yang lalu, sebagai satu daripada SOP pencegahan penularan Covid-19. – Gambar EPA, 8 Julai, 2020.

PAKISTAN menjangkakan penularan wabak Covid-19 mungkin akan lebih meluas semasa sambutan hari raya Aidiladha, kata Menteri Penerangan Shibli Faraz, lapor agensi berita Xinhua.

Justeru, katanya orang ramai perlu mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Shibli berkata Perdana Menteri Imran Khan, yang mempengerusikan mesyuarat kabinet juga memutuskan untuk menyambut perayaan itu di rumahnya dan mahu rakyat mengambil pendekatan sama.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pasar menjual hasil ternakan dibuka tetapi di bawah SOP yang ketat untuk mengelakkan kawasan itu menjadi tempat penularan wabak. – Bernama, 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen