IBU bapa yang bimbang anak mereka dijangkiti Covid-19 di sekolah mempunyai pilihan untuk tidak menghantar mereka ke sekolah apabila ia dibuka semula, kata Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib semalam seperti dilaporkan The Star.
Adzman dalam webinar dua jam di Saluran YouTube kementerian EduwebTV, bagaimanapun berkata ibu bapa murid yang sakit, mempunyai imuniti lemah atau mengalami komplikasi kesihatan seperti asma atau memerlukan dialisis, perlu menjelaskan secara bertulis kepada pihak sekolah mengapa mereka belum dapat menghantar anak ke sekolah.
Murid Tahun 5 dan 6, Tingkatan 1 hingga 4, pelajar kelas peralihan dan Tingkatan 6 Semester 1 akan memulakan persekolahan pada 15 Julai manakala murid Tahun 1 hingga 4 pada 22 Julai.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan berkata ibu bapa mempunyai hak untuk menjaga keselamatan anak-anak mereka.
Tan menambah, guru setakat ini sudah melakukannya dengan baik sejak sebahagian sekolah dibuka semula dengan kepulangan pelajar Tingkatan 5 dan 6 - pelajar yang mengambil peperiksaan - pada 24 Jun.
“Setakat ini, para guru tidak mempunyai rungutan tentang beban kerja mereka kerana rakan sekerja lain turut menjalankan tugas masing-masing untuk memastikan kepatuhan terhadap panduan, sambil mengajar silibus mengikut kesesuaian dengan pelajar mereka,” katanya seperti dilaporkan. – 8 Julai, 2020.
Komen