POLIS Serbia melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di Belgrade malam tadi.
Tunjuk perasaan diadakan sebagai bantahan langkah kerajaan mengenakan semula perintah berkurung susulan jangkitan Covid-19.
Kerajaan Serbia menarik semula perintah berkurung dua bulan lalu.
Penunjuk perasaan menyalakan suar dan membaling batu ke arah polis sambil berteriak mendesak Presiden Aleksandar Vucic meletak jawatan.
Vucic petang semalam umum mengenakan semula perintah berkurung pada hujung minggu selepas negara itu mencatat 13 kematian dalam sehari akibat Covid-19.
Perintah berkurung baharu akan berjalan dari Jumaat hingga Isnin, kata Vucic, sambil menambah jawatankuasa krisis kesihatan negara akan memutuskan sama ada akan dilaksanakan di seluruh negara atau hanya di Belgrade.
Dalam tempoh dua minggu lalu, bilangan kes jangkitan harian melonjak dan kini berada lebih 300 kes.
“Tiada siapa boleh bertahan dengan jumlah ini. Kita tidak mahu mempertaruhkan nyawa doktor,” kata Vucic. – AFP, 8 Julai, 2020.
Komen