Fauci kata wabak Covid-19 di AS serius, Trump kata tidak


Pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci (depan) berkata negara AS mash bergelut menghadapi penularan wabak Covid-19. – Gambar EPA, 8 Julai, 2020.

PRESIDEN Donald Trump semalam menyangkal penilaian pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci mengenai penularan wabak Covid-19 di Amerika Syarikat (AS).

“Situasi ketika ini serius. Kita masih bergelut menghadapi gelombang pertama jangkitan Covid-19,” kata ketua ahli jawatankuasa Covid-19 AS itu secara langsung di Facebook dan Twitter pada Isnin.

Namun, dalam temu bual bersama Fox News semalam Trump berkata beliau tidak bersetuju dengan Fauci.

“Saya rasa kita dalam keadaan baik-baik saja. Saya tak setuju dengan beliau,” kata Trump ketika ditemu bual dalam rancangan Full Court Press.

“Mula-mula Dr Fauci kata tak perlu pakai pelitup muka, sekarang mesti pakai pula.”

Trump juga berkata Fauci beritahu banyak perkara, yang menurut presiden itu bukan nasihat yang baik.

“Saya rasa dalam dua, tiga atau empat minggu, keadaan akan bertambah baik,” tambahnya.

Sehingga kini lebih 130,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 di AS, angka tertinggi di dunia. 

AS kini menjalankan ujian Covid-19 ke atas kira-kira 600,000 orang sehari, tetapi pakar kesihatan berkata ia masih tidak mencukupi berdasarkan peningkatan kes positif harian yang dilaporkan. – AFP, 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen