Presiden Brazil positif Covid-19


Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata beliau dalam keadaan baik dan hanya mengalami gejala ringan. – Gambar EPA, 8 Julai, 2020.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro semalam umum disahkan positif Covid-19, selepas menjalani ujian pada Isnin.

“Hasil ujian sudah keluar, positif,” kata Bolsonaro dalam temu bual bersama stesen televisyen dari kediamannya di Brasilia.

Namun Bolsonaro berkata beliau dalam keadaan baik dan hanya mengalami gejala ringan.

Presiden itu juga berkata beliau mengambil hydroxychloroquine dan azithromycin dalam rawatan.

Hydroxychloroquine adalah ubat yang digunakan untuk merawat malaria dan lupus, manakala azithromycin adalah antibiotik untuk merawat radang paru-paru.

Bolsonaro, 65, berkata beliau mula berasa tidak sihat pada Ahad lalu dan keesokannya mengalami demam serta kelesuan. 

“Hidup mesti diteruskan. Kita akan menjaga, terutamanya warga tua dan mereka yang berpenyakit, yang berisiko,” kata dalam temu bual semalam.

Pemimpin sayap kanan itu mencetus kontroversi di Brazil kerana sering melanggar perintah sekatan pergerakan untuk membendung wabak yang sehingga kini telah meragut 65,000 nyawa dan menjangkiti 1.6 juta penduduk negara itu.

Sejak Covid-19 menular di Brazil, Bolsonaro berkata wabak itu hanya selesema biasa. – AFP, 8 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen