Tiada penularan Covid-19 dalam keluarga mereka yang dikuarantin bulan lalu


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan petanda positif dan meminta agar ia dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

TIADA kes Covid-19 dikesan dalam kalangan ahli keluarga mereka yang menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bermula pada 10 Jun lalu bersama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang mana mereka yang kembali ke Malaysia perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari, bukan lagi di pusat kuarantin kerajaan.

Dr Noor Hisham berkata, ketiadaan jangkitan terhadap ahli keluarga mereka yang menjalani HSO merupakan petanda positif dan meminta agar ia dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan.

“Kementerian menggesa semua mereka yang kembali ke Malaysia untuk meneruskan kerjasama mereka dan mematuhi syarat di bawah HSO, agar kita boleh meneruskan usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat 647 kes import Covid-19 dalam kalangan mereka yang kembali ke Malaysia sejak 3 April ketika PKP dan sehingga pukul 12 tengah hari ini, tambah Dr Noor Hisham.

Jumlah kes import tertinggi iaitu 317, direkodkan antara 15 April dan 28 April iaitu ketika fasa ketiga PKP.

Jumlah terendah kes import adalah pada fasa keempat antara 29 April dan 3 Mei. Lapan kes dilaporkan ketika tempoh ini. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen