Sidang Parlimen satu hari sah, kata afidavit Muhyiddin


Dua individu memfailkan saman pemula meminta pengisytiharan sidang Parlimen pada 18 Me lalu batal dan tidak sah kerana melanggar Perlembagaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

SATU afidavit yang difailkan bagi pihak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menegaskan sidang Parlimen yang berlangsung satu hari pada 18 Mei adalah sah.

Afidavit itu difailkan diajukan bagi pihak Muhyiddin pada 22 Jun di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin sebagai tindak balas terhadap saman pemula oleh dua individu yang ingin mencabar kesahihan sesi sehari itu, lapor Malaysiakini.

Afidavit yang dilihat oleh portal berita itu, mengatakan sesi itu sah kerana ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Dewan Rakyat.

Ini kerana dua surat sudah dikeluarkan pada sesi tersebut, satu; untuk menetapkan tarikh 18 Mei sebagai tarikh tunggal, dan dua; untuk menentukan sesi itu hanya untuk mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua surat tersebut menyatakan “Ketua Majlis”, iaitu Muhyiddin yang menjadi perdana menteri, telah menentukan isi surat tersebut dalam peranannya sebagai Ketua Dewan.
Surat itu bertarikh 17 April dan 12 Mei.

Muhyiddin ingin menolak permohonan kedua-dua peguam yang sesi Parlimen sehari itu bertentangan dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

Peguam R Kengadharan dan aktivis sosial D Arumugam mengemukakan saman pemula pada 15 Mei, menamakan Muhyiddin sebagai defendan pertama dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai defendan kedua.

Kengadharan dan Arumugam meminta pengisytiharan bahawa sesi itu adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perlembagaan. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen