PRESIDEN Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mendapat sokongan pucuk pimpinan dan akar umbi selepas berusaha pulihkan Umno, kata Nur Jazlan Mohamed.
“Penindasan kerajaan Pakatan Harapan di bawah Dr Mahathir Mohamad tidak melemahkan semangat ahli biasa Umno dan selepas usaha Zahid untuk memulihkan semula kedudukan Umno menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini telah meletakkan semula Umno sekali gus mencerahkan masa depan Umno dari kegelapan PRU14,” kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu kepada portal berita Suara Merdeka hari ini.
Beliau berkata Umno sudah berdepan masalah pembelotan pemimpin dan pembekuan dana oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa kerajaan Pakatan Harapan memerintah.
“Kejayaan peguam Umno untuk mendpaatkan semula wang Umno di mahkamah selepas dirayu oleh peguam negara juga memperkuatkan Umno menghadapi PRU15.
“Maka pemimpin Umno sepatutnya menyokong usaha presiden memperkukuhkan parti yang telah membuahkan hasil yang baik untuk Umno. Lebih baik mereka menumpukan perhatian kepada membuka mata rakyat kepada kelemahan parti Bersatu yang tidak layak menjadi parti utama memimpin negara ini,” kata bekas ahli Parlimen Pulai ini.
Beliau juga berkata hanya Umno layak untuk menjadi parti pemimpin utama pada PRU15 berdasarkan kepada sokongan terbesar rakyat.
Sementara itu Nur Jazlan juga menggesa pemimpin Umno untuk menghentikan sebarang polemik berkenaan calon perdana menteri selepas PRU15.
Menurutnya isu itu rumit kerana ada ahli Parlimen Umno yang berpaling tadah kepada Bersatu sementara kumpulan kecil lain berada dalam parti.
“Secara kebetulan Muhyiddin Yassin yang diangkat menjadi perdana menteri secara tidak sengaja oleh kerjasama baik antara Ahmad Zahid dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang menjadi kenyataan selepas Dr. Mahathir didesak untuk meletak jawatan oleh PH.
“Secara kebetulan juga negara dilanda Covid-19 dan Muhyiddin telah menangani isu ini dengan baik dibantu oleh menteri-menteri Umno yang berkaliber seperti Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak perlu ada calon yang lain kalau PRU diadakan dalam tempoh terdekat ini. Bagaimanapun suasana politik boleh berubah dan memerlukan pengubahsuaian sekiranya PRU dilambatkan selepas tahun 2020 ini,” katanya. – 7 Julai, 2020.
Komen