Thailand akui tidak kenakan kuarantin delegasi tentera AS


Thailand mewajibkan jumlah perwakilan yang kecil dan membuat  kunjungan singkat, menjalani ujian saringan sebelum dan selepas ketibaan serta mematuhi lokasi dijadualkan untuk lawatan. – Gambar EPA, 7 Julai, 2020.

JURUCAKAP Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) mengakui delegasi perwakilan ketua kakitangan tentera Amerika Syarikat (AS) tidak akan dikuarantin tetapi akan diiring dan menjalani saringan Covid-19, lapor Agensi Berita Thailand (TNA). 

Jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin pada Isnin memberi maklum balas terhadap laporan bahawa perwakilan ketua kakitangan tentera AS Jeneral James McConville akan mengunjungi Thailand pada 9-10 Julai.

Lawatan itu telah dirancang dan sangat penting terhadap hubungan antarabangsa, katanya.

Memandangkan pandemik Covid-19, kerajaan mewajibkan jumlah perwakilan yang kecil, tidak melebihi 10 orang, membuat  kunjungan singkat, menjalani ujian saringan sebelum dan selepas ketibaan, diiringi pegawai perubatan, mematuhi lokasi dijadualkan untuk lawatan dan tidak berkunjung ke tempat awam atau menggunakan perkhidmatan aliran transit.

Mengenai laporan pesakit warga Thailand yang mengalami kemurungan akibat terkandas di England tanpa ubat selama tiga bulan, Taweesin berkata kerajaan akan membawanya kembali ke Thailand dengan segera.

Beliau berkata kira-kira 600 orang warga Thailand terkandas di England dan harus menunggu penerbangan carter atau kargo. 

Penerbangan sewa khas untuk mereka ditetapkan pada 20 dan 26 Julai, katanya. – Bernama, 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen