Hanya 2 daripada 1,146 rakyat Malaysia yang balik positif Covid-19, kata menteri


Sejak 10 Jun hingga 6 Julai, Kementerian Kesihatan menyaring 13,341 orang di pintu ketibaan KLIA dan 51 daripadanya positif Covid-19 dan dihantar ke hospital untuk rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2020.

HANYA dua rakyat Malaysia daripada 1,146 yang kembali dari luar negara semalam diuji positif Covid-19, kata Ismail Sabri Yaakob.

“Daripada jumlah yang tiba di KLIA dan klia2, seramai 1,144 individu diarahkan kuarantin wajib di rumah sementara dua individu lagi dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah dua yang positif dihantar ke hospital.

Ismail Sabri berkata dari 10 Jun hingga 6 Julai, Kementerian Kesihatan menyaring 13,341 orang di pintu ketibaan KLIA dan 51 daripadanya positif Covid-19 dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ismail Sabri berkata polis menahan dan mengeluarkan kompaun kepada tiga individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Mengenai operasi Ops Benteng, beliau berkata pihak berkuasa sudah mengadakan 67 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 44,028 kenderaan.

Lima warga asing ditahan kerana kesalahan imigresen, katanya.

Ismail Sabri juga berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa 61 tapak pembinaan di seluruh Malaysia pada 6 Julai dan mendapati 38 tapak pembinaan mematuhi prosedur kerajaan sementara 14 ingkar.

“Sebanyak 14 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP dan diberi amaran, sementara sembilan yang lain didapati belum beroperasi,” katanya.

Jumlah tapak pembinaan yang mematuhi SOP setakat ini adalah 2,800 sementara 515 tidak ingkar dan diberikan amaran.

Sebanyak 19 tapak pembinaan setakat ini diarah tutup kerana tidak mematuhi peraturan.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa menteri khas meluluskan prosedur bagi mereka yang menghadiri persidangan Parlimen minggu depan.

Katanya, peraturan itu merangkumi penggunaan pelindung muka, pembersih tangan dan penjarakan sosial 1m.

“Mereka yang terlibat, termasuk anggota Parlimen, perlu melalui proses pendaftaran menggunakan aplikasi MySejahtera serta pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk,” katanya.

Hanya ahli Parlimen dan pegawai dibenarkan masuk dewan persidangan sementara hanya media dan penjawat awam dibenarkan di Bangunan Parlimen. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen