Kumpulan ekonomi Melayu gesa Putrajaya utamakan syarikat tempatan


Sheridan Mahavera

DASAR Putrajaya mengenai penggunaan dan pembelian dari firma teknologi maklumat tempatan perlu jelas supaya syarikat-syarikat ini dapat berkembang, kata kumpulan ekonomi Melayu.

“MTEM (Majlis Tindakan Ekonomi Melayu) berpendapat bahawa kerajaan masih tidak mempunyai polisi yang jelas untuk mendukung teknologi tempatan setelah mempromosikan pembangunannya,” kata ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Yazid Othman.

Ini menyebabkan syarkat teknologi maklumat tempatan mendakwa produk dan perkhidmatan mereka tidak dinilai dengan adil dan tepat dalam pelan pemerolehan kerajaan, kata Yazid.

Dasar tidak jelas ini juga menyebabkan salah langkah seperti kerajaan menggunakan dana awam untuk membangunkan perisian “Fremium” bersama syarikat asing yang merisikokan data pengguna Malaysia, jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan membeli dari cawangan tempatan syarikat asing bagi memenuhi syarat tertentu sedangkan hakikatnya berurus niaga dengan pemilik warga asing.

Dasar itu juga menyebabkan kerajaan berurus niaga dengan firma besar IT yang menjalankan perniagaan serta penyelidikan dan pembangunan di luar negara.

Isu ini disuarakan oleh Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia (NEF) minggu lalu, yang berkata kontrak untuk membangunkan aplikasi MySejahtera diberi kepada syarikat asing sedangkan ia mampu dilakukan syarikat tempatan.

Aplikasi MySejahtera yang diperkenalkan untuk pengesanan kontak Covid-19 dibangunkan dengan usaha sama syarikat luar negara, KPISoft Inc dari Amerika Syarikat yang mempunyai ibu pejabat Asia di Singapura, kata NEF.

Yazid berkata kerajaan perlu mengkaji semula definisi “syarikat Malaysia”.

“Adakah syarikat yang asalnya Malaysia, tetapi kini berpusat di negara lain masih dikategorikan sebagai syarikat Malaysia? 

“Adakah syarikat antarabangsa (multi-national corporations) yang beroperasi di Malaysia, dan mempunyai status seperti Koridor Raya Multimedia (MSC) di anggap sebagai syarikat Malaysia juga?” 

Menurut Yazid definisi terhadap syarikat tempatan akan menentukan tahap sumbangan setiap syarikat yang perlu diberikan keutamaan kepada ekonomi dalaman Malaysia.

Katanya lagi, Malaysia mempunyai infrastruktur yang kukuh dalam membantu dan membiayai syarikat baharu, tetapi syarikat ini masih memerlukan banyak sokongan apabila berada dalam fasa pembangunan.

“Pihak MTEM menjemput kerajaan Malaysia untuk menyahut saranan ini supaya sebuah polisi dan huraian pekeliling yang memberi keutamaan kepada syarikat Malaysia yang membawa sumbangan kepada penjanaan pekerjaan dan percukaian melalui inovasi dan rekaan teknologi tempatan dapat dibentukkan secepat mungkin.

“Supaya ia selari dengan aspirasi agenda wawasan Kemakmuran Bersama 2030.” – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen