India catat kes Covid-19 ketiga tertinggi di dunia


Pekerja kesihatan memakai PPE berjalan di jalan sibuk di Ambujwadi, Mumbai selepas melakukan pemeriksaan terhadap penduduk. – Gambar EPA, 7 Julai, 2020.

INDIA semalam menjadi negara mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang ketiga tertinggi di dunia.

Kerajaan India beransur-ansur menarik balik pelaksanaan sekatan akibat pandemik itu, bagi memulihkan ekonomi yang terjejas teruk.

Bagaimanapun, jangkitan di negara ini terus meningkat dengan 24,000 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang menjadikan jumlahnya mencecah hampir 700,000, semalam iaitu lebih sedikit berbanding Rusia.

Bandar utama paling terkesan di India termasuk New Delhi dan Mumbai, manakala pengkritik mendakwa pelaksanaan ujian saringan tidak mencukupi, iaitu banyak jangkitan Covid-19 berkemungkinan terlepas daripada diagnosis.

Lonjakan kes menyebabkan pihak berkuasa di India terpaksa menggunakan hotel, dewan perkahwinan, pusat kerohanian dan gerabak kereta api untuk menampung penempatan pesakit wabak itu.

Jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia melepasi 11.5 juta dengan lebih 535,000 kematian sejak wabak itu muncul di China pada akhir tahun lalu.

Di Amerika Syarikat (AS) yang juga negara paling terkesan di dunia akibat pandemdik itu, pihak berkuasa memberi amaran sebilangan hospital sedang bergelut menangani ancaman kes jangkitan yang terus melonjak.

Jumlah kematian di AS kini melepasi 130,000 mangsa daripada kira-kira 2.9 juta jangkitan, malah banyak negeri merekodkan peningkatan kes selepas perintah berkurung dilonggarkan.

Di Australia, walaupun sebahagian besar keadaan wabak berjaya dikawal, penularan baharu di Melbourne menyebabkan pihak berkuasa menutup Victoria. – AFP, 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen