Presiden Brazil jalani ujian Covid-19 selepas alami gejala


Presiden Brazil Jair Bolsonaro menjalani ujian Covid-19 semalam selepas mengalami gejala termasuk demam. – Gambar EPA, 7 Julai, 2020.

PRESIDEN Brazil Jair Bolsonaro semalam berkata beliau sudah menjalani ujian Covid-19 selepas mengalami gejala termasuk demam.

Bolsonaro memberitahu CNN Brazil beliau jalani pemeriksaan x-ray di sebuah hospital tentera sebagai langkah berjaga-jaga, sambil menambah hasil ujian akan keluar hari ini.

Bagaimanapun, pembantunya enggan memberi komen ketika dihubungi AFP.

Sejak wabak Covid-19 menular di Brazil, Bolsonaro menyifatkan ia hanya selesema biasa dan memperlekehkan penjarakan sosial, perintah sekatan pergerakan dan memakai pelitup muka di tempat awam.

Brazil negara kedua paling teruk terjejas akibat Covid-19, dengan lebih 65,000 kematian daripada lebih 1.6 juta kes direkodkan.

Presiden itu semalam membuat beberapa perubahan terhadap undang-undang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam untuk membendung wabak.

Beberapa negeri telah mewajibkan pemakaian pelitup muka, tetapi ia belum dilaksanakan ke peringkat nasional. – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen