KIRA-kira 450,000 rakyat Malaysia dikenal pasti masih terkandas di luar negara berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sempadan negara di seluruh dunia ditutup, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, Putrajaya kini berusaha untuk membawa mereka pulang sebanyak mungkin, namun ada usaha yang tidak berjaya kerana masih ada negara yang tidak membenarkan penerbangan komersial mendarat.
“Kebanyakan rakyat kita masih terkandas di Mesir dan Oman. Setakat hari ini, kira-kira 450,000 rakyat Malaysia di luar negara,” katanya pada sidang media hari ini.
Daripada jumlah itu, 387,702 rakyat Malaysia telah mendaftar dengan Wisma Putra untuk bantuan.
“Kami harap yang lain boleh mengambil tindakan pantas dan berdaftar agar kita boleh bantu mereka.
“Bukan mudah untuk kita bawa mereka pulang kerana ada beberapa negara, penerbangan komersial masih tidak dibenarkan beroperasi dan ada negara yang tidak benarkan pesawat untuk mendarat,” tambahnya yang juga menteri pertahanan.
Katanya, dana Tabung Covid-19 akan digunakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.
“Kita sedang bincangkan dengan Wisma Putra dan melihat kos untuk membawa pulang. Dana daripada Tabung Covid-19 aan digunakan untuk membantu membawa rakyat Malaysia di luar negara pulang.” – 6 Julai, 2020.
Komen