KETUA Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memberi jaminan kepada rakyat yang polis akan adil saksama menyiasat laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian perdagangan forex Bank Negara Malaysia (BNM).
“Beri kami peluang. Kami akan lakukan siasatan yang adil dan mendalam tentang laporan RCI,” katanya.
Mohamad Fuzi enggan menamakan individu yang menjadi tumpuan siasatan polis, mengatakan “tidak adil” berbuat demikian pada tahap awal siasatan sedang dijalankan.
“Dalam siasatan seperti ini, kita tak boleh terburu-buru. Kami perlu jadi adil dan kami perlukan masa untuk kaji laporan yang dikeluarkan RCI,” katanya.
Minggu lepas, RCI membentangkan laporan hasil siasatan di Parlimen, menyalahkan bekas Penasihat BNM Nor Mohamed Yakcop atas kerugian berbilion ringgit dialami bank pusat itu, serta mendakwa bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang merupakan menteri kewangan ketika itu cuba melindungi fakta sebenar kerugian daripada pengetahuan Kabinet dan Parlimen.
Polis sudah memulakan siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah susulan laporan polis yang dibuat Setiausaha Suruhanjaya Dr Yusof Ismail di Putrajaya pada Khamis lalu.
Mohamad Fuzi berkata polis tidak mempunyai tempoh masa siasatan, menambah yang sebuah pasukan khas sudah ditubuhkan khusus untuk menyiasat kes itu.
“Jika ada ramai sangat saksi, kami perlukan lebih banyak masa, jika tidak (kurang saksi), kami boleh siapkan siasatan dengan lebih cepat,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas lanjut kes berkenaan.
“Terlalu awal untuk saya ulas lanjut. Laporan rasmi dibuat pada Khamis dan kami sudah buka siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. Jadi saya tak mahu komen banyak,” katanya.
Seksyen 409 memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun, sebatan dan denda.
RCI dibentuk bagi membongkar kebenaran di sebalik kerugian dialami BNM disebabkan perdagangan mata wang asing yang dilakukan bank pusat itu antara 1992 sehingga 1994.
RCI yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan menyimpulkan yang BNM mencatatkan kerugian mencecah RM31.5 bilion dalam perdagangan forex tersebut.
Selain Nor Mohamed Yakcop, Dr Mahathir dan Anwar, RCI juga mengesyorkan siasatan lanjut dilakukan ke atas bekas Timbalan Gabenor BNM Lim See Yan, Lembaga Pengarah BNM ketika itu, dan pegawai Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.
Dr Mahathir berkata beliau akan memfailkan semakan kehakiman bagi menghalang laporan RCI diedarkan jika panel siasatan enggan memasukkan kenyataan bertulis dan dokumen perundangan lain yang dihantarnya setebal 495 muka surat. – 4 Disember, 2017.
Komen