Ismail Sabri jamin bekalan makanan negara cukup


Kerajaan memantau pengeluaran makanan dalam negara dan bekalannya mencukupi, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

RAKYAT Malaysia tidak perlu bimbang wujudnya masalah kekurangan bekalan makanan kerana negara mempunyai bekalan mencukupi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keseluruhan bekalan keperluan asas mencukupi, tersedia dan mampu memenuhi keperluan negara.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga memantau tahap pengeluaran makanan dan memastikan bekalan barangan mencukupi.

“Kerana itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bimbang tentang makanan dan keperluan kerana ia mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penggunna memantau 25 jenis barangan keperluan penting di 692 premis perniagaan termasuk peruncit (487), pemborong (173) dan pengeluar (32).

Tambahnya, pihak penguatkuasa telah membuat 1,284 pemeriksaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

“Sejumlah 1,264 mematuhi SOP manakala 19 premis dimaklumkan berhubung ketidakpatuhan mereka.

“Manakala satu premis diberi amaran oleh pihak berkuasa berhubung kegagalan mematuhi SOP.” – 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen