Mengenang Malim Ghozali PK, sasterawan negara yang tidak diumum


Zainal Rashid Ahmad

PADA pagi Jumaat lalu, saya mendengar kisah pilu Malim Ghozali PK. Sesuatu yang menjadikan hari itu antara Jumaat paling mendukacitakan.

“Malim sudah membeli persalinan baju Melayu sebagai persediaan menerima Anugerah Sasterawan Negara kerana bukan rahsia dia sudah mengetahui pemilihannya,” kata sumber yang rapat.

Selain itu, Malim turut menempah songket dari Kuala Terengganu untuk dipakai pada hari penganugerahan.

Sebagai peminatnya, mendengar kisah ini selepas dua minggu Malim Ghazali kembali ke rahmatullah (18 Jun 2020), ia sangat menyentuh perasaan.

“Hari ini Jumaat yang mulia, saya ceritakan kerana kamu antara yang mengenalinya,” kata sumber itu.

Selain itu, Malim juga sudah dihubungi pihak tertentu yang bertanggungjawab – meminta naskhah dan karyanya. Urusan yang berkait rapat sebagai persediaan akhir menerima Anugerah Sasterawan Negara (SN) ke-14.

“Dia sangat gembira dan teruja kerana secara lisan sumber yang dipercayai sudah memaklumkan pemilihannya,” kata sumber yang rapat dengan Malim.

Apabila pengumumannya mulai ditunda dan “terhidu masalah”, Malim masih bertenang kerana percaya mustahil ada perubahan berdasarkan dalam maklumannya - namanya sudah terpilih.

“Antara tempoh selepas mengetahui dirinya terpilih, Malim mengusahakan penterjemahan karyanya ke Bahasa Inggeris sebagai persediaan,” katanya.

Meskipun sudah ada ribut apabila pengumuman ditangguhkan, Malim tidak mempedulikan semua itu.

“Dia anggap semua khabar angin mengenai ‘kericuhan’ namanya digugurkan kerana ‘isu politik’ sekadar khabar angin,” kata sumber itu.

Apabila keputusan rasmi diumumkan pada 3 September 2019 dan dirinya sah digugurkan sebagai penerima SN, Malim sangat kecewa.

“Bukan soal siapa terpilih, tetapi soal mengapa dirinya dianiaya sedemikian rupa,” kata sumber itu.

Sejak itu Malim sangat berduka. Malah, sangat kecewa memikirkan: Apakah motif dirinya disingkirkan secara terhina?

“Sejak itu Malim bermurung. Dia bukan sahaja kehilangan SN tetapi juga kawan-kawan,” kata sumber itu.

Malim disisih dan diketepikan dan kawan-kawan pula menjauhkan diri hingga terasa dirinya tidak diberikan pembelaan sewajarnya dan diperlekehkan begitu sahaja.

Bawa diri ke Eropah

Kesedihan berpanjangan jelas menjejaskan emosi Malim. Pada November dan Disember 2019, dia mula menampakkan tanda-tanda mengalami depresi.

Menurut sumber itu, Malim memilih menjauhkan diri dari persekitaran sastera tanah air dengan mengajak keluarganya mengembara ke Eropah.

“Mereka pergi ke Frankfurt dan London kerana Malim ingin melupakan kesedihan yang sudah tidak terpikul,” kata sumber itu.

Malim juga memaklumkan pada keluarganya, dia ingin meninggalkan Malaysia buat sementara dan menyambung pelajarannya di Universiti Roehampton.

“Ketika di London bercuti, Malim menemui kawan-kawan lama dan mula mencari rumah sewa yang kadarnya berpatutan untuk belajar di sana,” kata sumber itu.

Ketika di Eropah, keluarga Malim mula mengesyaki keadaan kesihatannya merosot sepanjang bercuti di Jerman dan England pada 20 Januari hingga 18 Februari 2020.

Apabila pulang ke tanah air, Malim kerap sesak nafas dan keluarga membawanya membuat ujian Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur dan keputusan negatif.

Apabila Malim masih sukar bernafas, keluarga membawanya melakukan ujian Covid-19 kali kedua di Hospital Thomson dan keputusan tetap negatif.

Akhirnya, imbasan CT dijalankan dan keputusannya amat mengejutkan.

“Doktor mengesahkan penemuan tumor 17 sentimeter pada paru-parunya dan membesar menjadi 20 sentimeter,” kata sumber itu.

Keluarga Malim semakin bimbang apabila kanser turut dikesan pada bahagian perutnya.

“Doktor sendiri terperanjat kerana tumor membesar begitu cepat sedangkan Malim sentiasa menjalani rawatan kesihatan,” kata sumber itu.

Menurut sumber, sebagai survival kanser, Malim sangat tabah kerana sudah dua kali melalui cabaran penyakit ini.

“Doktor mengakui kekuatan kesihatan Malim terjejas teruk kerana dia kemurungan dan tidak gembira,” kata sumber itu.

Keluarga Malim juga menyedari keadaan emosinya terjejas teruk sejak November selepas dua bulan keputusan SN diumumkan.

“Kesihatan Malim merosot pada November 2019 dan mudah mengah pada bulan Disember,” kata sumber itu.

Namun, dia tetap bersemangat dan berulang kali menegaskan hasratnya menyambung belajar dalam bidang penulisan kreatif di London.

Kesihatan Malim merosot

Malim melalui tempoh sembilan bulan yang penuh tekanan selepas terasa dirinya digugurkan sebagai SN 14 atas agenda pihak tertentu.

Malah, kata sumber itu, kemurungan antara punca tumornya merebak lebih pantas.

“Dia sudah melalui dua serangan tumor sebelum dan ketika tumor kali ketiga dikesan, hanya dalam tempoh enam bulan – tahap seriusnya merebak pantas dan akhirnya meragut nyawa,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, memang ajal dan maut ditangan Allah. Namun, tiap kejadian ada puncanya.

“Tekanan perasaan dan kemurungan antara punca Malim lebih mudah dikalahkan tumornya,” kata sumber itu dengan suara yang sebak.

Malim tahu secara terperinci semua yang berlaku dan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan SN. Tiap butir mesyuarat disampaikan padanya.

“Dia tahu siapa yang menjatuhkannya, dia tahu siapa yang bersikap talam dua muka dan siapa yang kekal mempertahankan keputusan awal yang memihak padanya,” kata sumber itu.

Selepas namanya dicicirkan, Malim jadi terasing dan hanya beberapa kawan rapat yang mengunjunginya di rumah dan melahirkan rasa simpati.

Setelah melalui semua detik sukar selama sembilan bulan – Mohamed Ghozali bin Abdul Rashid menghembuskan nafas akhir pada usia 71 tahun.

(Saya sendiri sebagai peminat sastera sangat terperanjat.)

Sebenarnya berita Malim terpilih sebagai SN sudah diketahui ramai seawal Disember 2018.

Malah, pada waktu itu, semua pihak menerima hakikat – seseorang yang dihubungi dan diminta menyediakan pelbagai keperluan oleh pihak tertentu – adalah lumrah sebagai persediaan untuk diumumkan sebagai SN.

“Ia bukan aneh, kerana sebelum ini hakikat diminta bersedia difahami sebagai proses menanti pengumuman rasmi,” kata sumber itu.

Malah, Malim sendiri sudah menerima banyak ucapan tahniah walaupun keputusan rasmi belum diumumkan.

Secara relatifnya, ia bukan aneh, sejak SN pertama diwujudkan pada 1981 - keputusan awalnya tidak pernah menjadi rahsia.

Semua 13 penerima SN antara 1981 hingga 2015, namanya sudah diketahui peminat sastera sebelum keputusan rasmi diumumkan menteri pendidikan.

Secara sejarah, “tiang gol” keputusan SN tidak pernah diubah.

Perginya Malim dan kekalnya sejarah hitam

Malim menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2013.

Pada Khamis 18 Jun jam 11.20 pagi, berita Malim meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, tersebar dan mengejutkan masyarakat sastera.

Malim menghembuskan nafas akhir selepas menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian jantung.

Pada malam sebelum pemergiannya, Malim mengalami gangguan pernafasan kesan ketumbuhan tumornya yang makin membesar. 

Malim pergi setelah sempat menyiapkan novel terbaharunya, Gunung Cha. Ironinya, naskhah itu sedang melalui proses suntingan dan akan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Malim tetap tabah

Ketika kesihatannya memburuk dan berada dalam keadaan kecewa dan tertekan akibat politik Anugerah SN, Malim tetap tabah meneruskan dedikasinya pada sastera.

“Malim tetap tekun menyiapkan buku-buku terakhirnya walaupun sudah disahkan mengenai tumor besar pada paru-parunya,” kata sumber itu.

Malim gigih menyiapkan kumpulan puisinya “Kembali Kepada Kata” dan novelnya Gunung Cha.

“Dia tekun menterjemahkan Gunung Cha ke Bahasa Inggeris dengan judul Mount Cha serta buku ‘Yusof & Ibrahim: Journey of a Lifetime’ hasil tulisan arwah dan isterinya,” kata sumber itu.

Malim melalui banyak derita dan fitnah serta pemulauan elit sastera apabila disisihkan. Banyak pihak enggan bersuara walaupun menyedari wujud muslihat dalam pemilihan SN 14.

“Malah, Malim difitnah kononnya hadir ke Program Pelancaran Buku Bahasa Mandarin anjuran DBP di Beijing bulan Ogos 2019 sebagai bermotifkan melobi menteri,” kata sumber.

Malim hadir ke Beijing atas undangan, kata sumber.

“Suara sumbang menfitnah Malim pergi ke China untuk membodek menteri pendidikan dan Malim sangat kecewa dengan tuduhan itu,” kata sumber.

Kisah Malim, kata sumber: “Satu tragedi hitam dalam duka sastera Malaysia!”

Malim pergi tanpa berpeluang membacakan teks ucapan penerimaan SN yang sudah disediakan kerana “tiang gol diubah dalam perlawanan yang memalukan!” – 5 Julai, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen