Kesan wabak terus dirasai, projek pantri komuniti bantu ringankan beban


Ravin Palanisamy

Sesiapa sahaja boleh mengambil barangan pantri tanpa soal tetapi perlu dibuat atas rasa tanggungjawab. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Julai, 2020.

SEKUMPULAN sukarelawan yang merasakan kesan wabak Covid-19 ke atas pekerjaan dan kehidupan rakyat akan terus berpanjangan, memulakan projek pantri komuniti di dua lokasi dan berharap dapat meluaskan projek itu dengan sokongan pihak prihatin.

Projek Metta Pantry bermatlamat membantu sesiapa sahaja tanpa diskriminasi, rakyat tempatan atau warga asing yang berdepan masalah kewangan dan memerlukan bantuan makanan.

Penyelaras projek Lim Kean Liang, 59, berkata ramai orang kehilangan kerja, dipaksa cuti tanpa gaji atau gaji dipotong, walaupun aktiviti ekonomi sudah disambung semula.

Lim adalah antara 15 sukarelawan yang bersama-sama memulakan Metta Pantry di mana sesiapa yang memerlukan boleh singgah untuk mengambil barangan makanan yang diperlukan.

Katanya, beliau mendapat idea memulakan pantri komuniti itu daripada gurunya, seorang sami Buddha Malaysia dikenali sebagai Venerable Mahinda, yang mendapat inspirasi daripada inisiatif yang terdapat di seluruh dunia itu.

Tidak seperti inisiatif lain yang dimulakan ketika musim wabak apabila bekalan makanan diberikan secara langsung kepada penerima, Lim berkata pantri itu dibuka berdasarkan konsep “pengambilan pasif”.

“Pantri itu pasif, terletak di satu kawasan dan orang datang ambil apa yang mereka perlukan.

“Ia beroperasi berasaskan konsep pengambilan bertanggungjawab, dan menyimpan stok berasaskan kemurahan dan kebaikan hati,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penyelaras projek Lim Kean Liang, 59, berkata ramai orang kehilangan kerja, dipaksa cuti tanpa gaji atau gaji dipotong, walaupun aktiviti ekonomi sudah disambung semula. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Metta Pantry bermula pada 29 Mei di dua lokasi, satu di dewan perubatan di Jalan Ipoh dan yang kedua di sebuah farmasi di Taman Bayu Perdana, Klang.

Lim berkata mereka mula mendapat maklum balas daripada penduduk kawasan tertentu mengenai keperluan pantri komuniti bagi golongan memerlukan di situ.

Sebaik idea itu dirangka dengan baik, mereka mula mencari rakan lokasi dan sukarelawan.

Pantri ketiga ditubuhkan pada 22 Jun di sebuah kedai kopi di Pusat Bandar Puchong.

Usaha itu tidak mudah, tambah Lim, kerana mereka perlu patuh syarat pihak berkuasa tempatan, membeli barangan dan mendapatkan persetujuan dan memahami keperluan rakan lokasi.

“Kami perlu dapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan kerana kami letak pantri di luar kawasan kedai. Jadi, kami perlu bekerjasama dengan pemilik kedai yang baik hati dan pemurah.”

Lim berkata pantri ketiga di Puchong memerlukan pasukannya membentangkan matlamat program kepada pengurusan tertinggi kedai sebelum mendapat persetujuan.

“Walaupun pantri itu sedikit menganggu perniagaannya, dia benarkan kami letak dalam kedainya,” katanya, menambah, yang lokasi terbaik pantri adalah dalam kawasan kejiranan golongan susah dan memerlukan bantuan.

Projek itu juga sangat bergantung kepada tenaga sukarela, berkata mereka yang tidak dapat menyumbang wang tunai atau barangan makanan boleh meluangkan tenaga sebagai penyelia, peletak, pembungkus atau penghantar barang.

Pasukan itu bekerja dengan bajet harian antara RM220 sehingga RM240 untuk membeli barangan keperluan harian untuk setiap pantri, yang diletakkan barangan selama enam hari seminggu.

Metta Pantry kini terdapat di tiga lokasi sekitar Lembah Klang. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Pantri itu dipenuhi dengan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, telur, mee, roti, ubi kentang, bawang, tepung dan makanan bertin. Ia bagaimanapun tidak menyediakan barangan mudah rosak seperti sayur-sayuran.

Lim berkata pihaknya juga mengeluarkan laporan mingguan bagi mengetahui jumlah barangan yang diambil daripada tiga pantri berkenaan.

“Kami sangat pentingkan ketulusan. Jadi, kami beri laporan mingguan di Facebook tentang jumlah barangan yang diambil daripada tiga pantri itu dan jumlah nilai barangan yang diberikan,” katanya.

Jelasnya, Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia dan Yayasan Aloka menaja inisiatif itu.

Orang ramai juga boleh membantu dengan menyumbang kepada Persatuan Mubaligh Buddha Malaysia (BMSM) di akaun Public Bank mereka, 09 436 0931.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan makanan pula boleh menghubungi talian 016 296 6223. – 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen