Kerajaan abai keperluan pelajar istimewa, kata ibu bapa


Diyana Ibrahim

Pihak pengurusan sekolah khas juga tertekan kerana tidak diberikan SOP khas bagi pelajar dari golongan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

IBU bapa kanak-kanak istimewa kecewa kerana kerajaan tidak peka dengan keperluan golongan itu yang terpaksa guna prosedur operasi standard (SOP) sama dengan sekolah dan tadika kanak-kanak normal.

Al Abror Mohd Yusof, bapa seorang kanak-kanak autisitk memberitahu The Malaysian Insight yang kerajaan sepatutnya menyediakan SOP khusus bagi kanak-kanak istimewa.

Keperluan golongan itu sangat berbeza dengan kanak-kanak normal dan SOP berbeza sepatutnya dikuatkuasakan, jelas Al-Abror, 50.

Selain itu, beliau juga kecewa kerana maklumat dan pengurusan pelajar bagi pembukaan semula sekolah dibuat secara tidak tersusun yang membebankan dan mengelirukan ibu bapa.

Ibu bapa hanya dimaklumkan empat hari sebelum pembukaan sekolah dan ia sangat tidak wajar memandangkan pembukaan sekolah biasa diumum dua minggu lebih awal.

Al Abror yang menghantar anaknya berusia 17 tahun di Sekolah Pendidikan Khas Vokasional , di Kuantan, Pahang berkata ia menekan ibu bapa, terutama yang berpendapatan rendah.

“Kalau sekolah biasa menteri sudah maklum buka sekolah dua minggu lebih awal, sekolah vokasional pendidikan khas (diumumkan) empat hari sebelum sekolah dibuka.

“Sudahlah pembukaan pada pertengahan minggu, bukan Isnin. Bayangkan macam mana mak bapak nak uruskan anak-anak ke sekolah. Sesetengahnya susah nak ambil cuti.

“Yang lebih sedih, sesetengahnya ada masalah kewangan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain itu terdapat juga ibu bapa pelajar tahun pertama terpaksa menghantar semula anak kerana diminta pihak sekolah ekoran pengumuman menteri.

“Untuk sekolah anak saya, ada ibu bapa pelajar tahun 1 kecewa sebab baru saja tiga hari ambil barang anak diberitahu kena hantar balik tak lama lagi,” katanya.

Pelajar kelas peperiksaan sudah mula bersekolah, pelajar kelas biasa akan mula kembali bersekolah bulan ini, semuanya perlu patuh SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Ia rententan kepada pengumuman Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin semalam yang menyebut, semua sekolah rendah dan menengah akan dibuka semula secara berperingkat bermula 15 Julai.

Radzi mengumumkan pembukaan semula sekolah genap seminggu selepas sesi pembelajaran bersemuka dimulakan untuk Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan awam.

Namun pada sidang media tersebut Radzi tidak mengumumkan garis panduan mengenai sekolah khas dan sebaliknya hanya menyebut ia akan diedarkan kemudian.

Ia turut memberi masalah kepada pihak pengurusan sekolah khas persendirian yang tidak diberikan SOP khusus dan terpaksa mengunapakai garis panduan sedia ada.

Pengarah Persatuan Kanak Kanak Istimewa Kajang (PKIK) Kong Lan Lee berkata pusat itu melakukan inisiatif sendiri meminta ibu bapa melatih anak-anak.

Ia termasuk membiasakan dengan SOP seperti memakai topeng muka dan membasuh tangan di rumah sejak dua bulan lepas.

Kong berkata langkah itu dibuat bagi melihat tahap penerimaan kanak-kanak istimewa terhadap pelaksanaan SOP.

“Memang susah sebab kita tahu keadaan anak-anak kurang upaya ini tidak sama dengan kanak-kanak normal. Kita minta ibu bapa latih anak mereka di rumah walaupun sukar.

“Daripada latihan itu kita dapat lihat penerimaan SOP agak sukar diikuti kanak-kanak dan isu ini yang kita sedang atasi,” katanya yang baru saja membuka operasi pusat tersebut pada minggu ini.

Katanya disebabkan itu PKIK hanya menerima pelajar dewasa seramai 58 orang dan dibahagikan kepada dua kelas.

“Ada juga SOP yang kita terpaksa tambah sendiri mengikut keperluan anak-anak istimewa. Sebagai contoh di pusat ini kita melebarkan lagi penjarakan sosial sebanyak enam meter.

“Kebersihan juga sangat diutamakan seperti pelajar perlu membawa tuala sendiri dari rumah, kuku kena bersih selain sekolah kini membatalkan aktiviti dalam kumpulan,” katanya.

Pematuhan SOP sekolah khas masih tidak dikeluarkan dan ia perlu berbeza bagi memenuhi keperluan pelajar keperluan khas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2020.

Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Bangi juga mengakui berdepan cabaran besar dalam memperkenalkan rutin baharu kepada kanak-kanak istimewa.

Salah seorang guru di pusat itu, Hazimah Zakaria, 28, berkata tahap penerimaan kanak-kanak khas dengan rutin baru juga berbeza bergantung kepada umur masing-masing.

“Macam di pusat kami, umur pelajar dari sekolah rendah sehinggalah dewasa berusia 20 tahun.

“Jadi apabila bila diajar dengan rutin itu kita dapat lihat golongan dewasa lebih mudah faham dengan rutin baharu berbanding kanak-kanak,” katanya.

Hazimah berkata persatuan juga berdepan cabaran melaksana SOP penjarakan sosial sehingga terpaksa mengadakan tiga sesi sehari bagi menampung 50 orang pelajar kerana kapasiti sekolah yang terhad.

“Disebabkan kita fokus pada penjarakan sosial jadi terpaksalah bahagikan tiga sesi di mana setiap satu sesi kita akan hadkan selama tiga jam.

“Ia untuk tampung 50 pelajar di pusat ini. Disebabkan itu kita juga bagi pilihan juga kepada ibu bapa untuk pembelajaran di rumah tapi perlu ada penglibatan dari ibu bapa juga,” katanya. – 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen