Kuasa beli wanita Islam Malaysia pacu industri kecantikan patuh Syariah


Diyana Ibrahim

"Saya kadang bila saya pakai tudung keluaran baru, saya akan buat video dan ambil gambar letak di laman sosial, dan ia akan menarik perhatian, orang akan tanya nak beli tudung saya pakai ini," kata pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri apabila ditanya mengenai kepentingan media sosial dalam melonjakkan industri kecantikan untuk wanita Islam Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Disember, 2017

MENYELUSURI lebuh raya pasti anda akan melihat papan tanda iklan gergasi majoritinya menawarkan pelbagai produk muslimah daripada produk kecantikan, penjagaan diri, kesihatan sehinggalah kepada tudung atau baju.

Namun fenomena lambakan iklan yang diterajui usahawan fesyen dan kosmetik tidak menghairankan kerana ia seiring dengan permintaan tinggi pasaran tersebut.

Itu baru saja papan tanda iklan gergasi di lebuh raya, usahawan fesyen dan kosmetik juga amat berpengaruh di laman sosial, menggunakannya untuk mengiklankan produk dengan kaedah kreatif dan unik.

Menurut kaji selidik J. Walter Thomspon (JWT) yang dikeluarkan pada September lalu yang mendapati, wanita muda beragama Islam di Asia Tenggara menjadi tumpuan pemasaran.

Ini kerana mereka adalah kumpulan berpengaruh dalam gaya, fesyen, pelancongan, kemampuan yang baik terhadap teknologi dan keusahawanan tetapi masih patuh syariah.

Kajian yang dilakukan itu meliputi golongan wanita daripada generasi milenial yang sebahagian besarnya berusia 18-39 tahun (77%) dan lebih 40 tahun (23%).

Di  Malaysia, 60 % daripada 30 juta penduduknya beragama Islam dan menyaksikan 24% kaum wanita muslimah di negara ini memilih untuk membeli barangan seperti baju atau kosmetik secara mingguan dan 58% membelinya setiap bulan.

Menyedari pengaruh dalam pasaran muslimah, seorang gadis muda Aen Syahera, 24 memutuskan untuk menceburkan diri dalam bidang komestik yang menghasilkan jenama produk kecantikannya sendiri, Syahera Beauty Care.

Walaupun bergelar graduan pengurusan hotel, kelayakan diperolehi dari Universiti Institut Teknologi Mara, UiTM Dungun, Terengganu, gadis ini lebih senang menjadi usahawan.

“Saya mula berniaga sejak tiga tahun lepas, sejak dari zaman belajar lagi setahun saya jual produk orang, saya jadi ’ dropship’ dan daripada keuntungan jual produk orang saya simpan untuk dijadikan modal saya berniaga keluarkan produk sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Memulakan perniagaan sejak 2015, Syahera berkata produknya merupakan sekotak lengkap makanan tambahan berasaskan serbuk mutiara yang berkhasiat untuk manfaat kesihatan dalaman dan kecantikan wanita.

“Pencapaian paling besar bila dipilih menjadi ikon usahawan muda di festival wanita muda pada tahun 2016 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Najib Razak,” katanya yang mengakui memulakan perniagaan tanpa mengharapkan bantuan modal daripada keluarga.

Kata gadis muda itu lagi, beliau menjual produknya seratus peratus menerusi dalam talian dan paling banyak menumpukan pasaran di Pantai Timur, produknya turut dipasarkan di sempadan Thailand.

Platform media sosial juga menurut Syahera amat penting dalam membantu melariskan produknya.

Syahera akan memastikan dirinya aktif di setiap laman sosial dan menerusi platform tersebut beliau akan cuba memasarkan produknya secara tidak langsung.

“Macam saya, saya akan masuk di laman sosial dan video pendapat, saya akan muat naik status berguna di laman sosial, contoh berkongsi tips atau bercakap mengenai isu semasa jadi orang akan kongsi status saya dan dari situ saya dapat pengikut baru yang kemungkinan akan menggunakan produk saya,” kata gadis berasal dari Kelantan itu.

Di  Malaysia, 60 % daripada 30 juta penduduknya beragama Islam dan menyaksikan 24% kaum wanita muslimah di negara ini memilih untuk membeli barangan seperti baju atau kosmetik secara mingguan dan 58%  membelinya setiap bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Disember, 2017.

Produk perlu halal 

Kriteria halal amat dititik beratkan dalam trend pasaran muslimah. Menurut kajian JWT, aspek tersebut menjadi keutamaan apabila sembilan daripada 10 wanita menggambarkannya sebagai “sangat penting”.

Bagi pengasas rangkaian produk kecantikan NAIFA, Feirouz Azalia Muhamad Noor, 43, akan memastikan produknya dibuat daripada bahan halal.

12 tahun dalam industri produk kecantikan, usahawan itu berkata, beliau boleh berbangga dengan pencapaian sekarang kerana berjaya memiliki sebuah kilang di Kuala Terengganu yang membekalkan bahan mentah bagi penghasilan kosmetik.

“Setiap produk perlu memastikan bahannya adalah halal dan patuh piawaian kerajaan Malaysia, kilang kami sendiri menggunakan bahan mentah halal dan tidak berbahaya untuk produk.

“Lambakan produk atas lesen halal sangat banyak dan ada juga yang hanya letakkan halal sebagai syarat sedangkan sebenarnya ia belum memohon sijil Halal dan tidak sahkan oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Perkara ini tak sepatutnya berlaku kerana menipu pengguna,” kata usahawan itu sambil menambah bahawa beliau sendiri terlibat dalam setiap proses penyelidikan penghasilan kosmetik.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk menceburi perniagaan produk kecantikan, Feirouz mengatakan semuanya bermula selepas melihat ramai rakannya mengusahakan produk kosmetik dan mempunyai jenama sendiri.

“Dari situ saya beli barang secara pukal dan buat jenama sendiri, Garam Mandian Laara antara produk popular kami, dulu produk saya dikenali dengan nama LAARA.

“Selain itu bila lihat lambakan produk beracun, saya rasa terpanggil untuk memberikan satu produk lebih baik dari segi kualitinya, dan saya mulakan modal saya masa berniaga antara RM8,000 hingga RM10,000,” katanya yang turut menjual produk menerusi internet.

Bukan saja menghasilkan produk kecantikan sendiri, NAIFA juga membekalkan produk kecantikan untuk dijenamakan semula bagi usahawan yang berminat menceburi bidang tersebut.

Tudung bertatah permata, ribuan ringgit

Tidak ada sesiapa yang menyangka menjual sehelai tudung bawal boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit, namun bagi pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, 40, ia bukanlah mustahil.

Sehingga kini rekod paling mahal sehelai tudung bawal yang dibeli pelanggannya berharga RM33,000.

Menurut Haliza, tudungnya boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit kerana ia bertatahkan batu Swarovski.

“Lagi banyak batu dan hiasanya maka lagi tinggilah harga tudung tersebut,” kata pengasas itu.

Malah boleh dikatakan, Bawal Exclusive merupakan peniaga tudung yang pertama di negara ini secara rasmi menjalinkan kerjasama dengan jenama antarabangsa, Swarovski.

Memulakan perniagaaan sejak 1998 bersama suami, Haliza berkata ketika itu mereka hanya berniaga tudung di arked, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Menjadi antara pelopor jenama hijab terawal negara, kaedah jualan dan pemasaran Syarikat Bawal Exclusive adalah konvensional iaitu pemasaran mulut ke mulut.

Tidak ada sesiapa yang menyangka menjual sehelai tudung bawal boleh mencecah harga puluhan ribu ringgit, namun bagi pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, 40, ia bukanlah mustahil. Sehingga kini rekod paling mahal sehelai tudung bawal yang dibeli pelanggannya berharga RM33,000.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Disember, 2017.

“Tapi sekarang memang bila zaman internet, laman sosial ini, memang berniaga lagi mudah.

“Saya kadang bila saya pakai tudung keluaran baru, saya akan buat video dan ambil gambar letak di laman sosial, dan ia akan menarik perhatian, orang akan tanya nak beli tudung saya pakai ini,” katanya.

Kreatif di laman sosial 

Menjadi usahawan kosmetik juga memerlukan mereka kreatif dan bijak menampilkan diri di laman sosial.

Atas dasar itu, pengasas produk Ibu Pati Putih Janna Lawwa, Janna Suzanna berkata yang beliau akan memastikan setiap kaedah pemasaran mengenai produknya adalah melalui laman sosial.

“Sekarang ini orang nak kelainan jadi video yang kita buat iklan mesti menarik dan unik. Ia strategi yang berkesan,” katanya.

Beliau mengambil masa 10 tahun untuk mengembangkan perniagaannya dan pasaranya lebih tertumpu di Kedah.

“Saya memang minat terhadap kosmetik kecantikan dan rahsia turun-temurun peninggalan nenek saya, saya kongsikan bersama, tapi apa penting kita kena uji badan  pada kita dulu.”

Antara produk yang dijual meliputi produk krim muka dan badan yang sudah mendapat sijil Amalan Pengilangan PIawai (GMP) dan keluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – 4 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen