Kes Covid-19 di Arab Saudi lepasi angka 200,000


Arab Saudi hanya membenarkan kira-kira 1,000 jemaah sahaja untuk menunaikan haji tahun ini di bawah SOP yang ketat. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

ARAB Saudi melepasi angka 200,000 bagi kes koronavirus, kata kementerian kesihatan pada Jumaat, beberapa minggu menjelang ibadah haji yang bilangan jemaahnya dikurangkan secara drastik disebbakan wabak itu.

Negara Teluk paling teruk terjejas itu kini menyaksikan 201,801 kes disahkan termasuk 4,193 kes baharu pada Jumaat dengan 1,802 kematian.

Lebih 140,000 daripada mereka yang dijangkiti disahkan pulih.

Ketika sekatan ketat untuk mengekang pandemik, kerajaan berkata hanya akan mengizinkan kira-kira 1,000 jemaah yang sedia ada di negara tersebut untuk menunaikan ibadah haji bulan ini.

Pada 2019, ibadah haji melibatkan lebih 2.5 juta jemaah Islam dari seluruh dunia.

Haji tahun ini akan dilaksanakan di bawah protokol kebersihan yang ketat, dengan akses terhad kepada jemaah haji di bawah 65 tahun dan tanpa penyakit kronik.

Jemaah haji akan diuji semasa ketibaan di kota suci Mekah, dan selepas selesai menunaikan ibadah, mereka akan menjalani kuarantin di rumah.

Arab Saudi merekodkan peningkatan jangkitan dan kematian akibat penyakit Covid-19 sejak melonggarkan sekatan pergerakan pada akhir Mei.

Ia belum dapat memulihkan hubungan udara antarabangsa. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen