Pejabat WHO terawal beri amaran virus, bukannya China


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengemaskini laporannya mengenai tahap awal krisis Covid-19 dengan berkata ia dimaklumkan oleh pejabatnya sendiri di China, dan bukannya China, berhubung kes radang paru-paru pertama di Wuhan.

Badan kesihatan PBB dituduh oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump gagal memberikan maklumat diperlukan untuk membendung wabak tersebut dan lebih berpihak kepada Beijing, tuduhan yang dinafikannya.

Pada 9 April, WHO menerbitkan garis masa awal komunikasinya, sebahagiannya reaksi terhadap kritikan berhubung tindak balas awalnya terhadap wabak yang kini meragut lebih 521,000 nyawa di seluruh dunia.

Dalam kronologi itu, WHO hanya berkata suruhanjaya kesihatan perbandaran Wuhan di wilayah Hubei pada 31 Disember melaporkan kes pneumonia. Agensi kesihatan PBB bagaimanapun tidak menyatakan siapa memaklumkannya.

Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu sidang media pada 20 April laporan pertama datang dari China, tanpa mendedahkan sama ada laporan itu dihantar oleh pihak berkuasa China atau sumber lain.

Tetapi kronologi baharu, diterbitkan minggu ini oleh institusi yang berpusat di Geneva, memberikan versi peristiwa lebih terperinci.

Ia menunjukkan pejabat WHO di China pada 31 Disember memberitahukan pusat kontak wilayahnya mengenai kes “virus radang paru-paru” selepas menemui kenyataan untuk media di laman web suruhanjayai kesihatan Wuhan mengenai isu tersebut.

Pada hari yang sama, perkhidmatan maklumat wabak WHO membaca satu lagi laporan berita yang dihantar rangkaian pemantauan epidemiologi antarabangsa ProMed - yang berpusat di AS - mengenai kumpulan kes pneumonia yang sama daripada punca tidak diketahui di Wuhan.

Selepas itu, WHO meminta sebanyak dua kali daripada pihak berkuasa China, pada 1 Januari dan 2 Januari, untuk mendapatkan maklumat mengenai kes ini, yang hanya diberikan pada 3 Januari.

Pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan, memberitahu sidang media pada Jumaat negara mempunyai 24 hingga 48 jam untuk mengesahkan secara rasmi sesuatu kejadian dan memberikan agensi itu maklumat tambahan mengenai sifat atau punca kejadian.

Ryan menambah yang pihak berkuasa China segera menghubungi WHO sebaik sahaja agensi itu meminta untuk mengesahkan laporan tersebut.

Trump mengumumkan yang negaranya, penyumbang utama kewangan WHO, akan memutuskan hubungannya dengan institusi itu, yang dituduhnya terlalu rapat dengan China dan tidak berjaya menangani wabak itu.

WHO menafikan ada rasa tidak puas hati terhadap China. – AFP, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen