Persatuan gesa Putrajaya benarkan spa, pusat refleksologi ambil pekerja asing


Noel Achariam

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada minggu lalu berkata hanya rakyat Malaysia dibenarkan bekerja di spa, pusat kesihatan dan refleksologi yang dibenarkan beroperasi semula 1 Julai. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

LANGKAH Putrajaya membeku pengambilan pekerja asing menyebabkan hampir 90% spa, pusat kesihatan dan refleksologi dalam keadaan tersepit walaupun dibenarkan beroperasi semula mulai 1 Julai lalu.

Pengusaha memberitahu The Malaysian Insight, industri ini mengupah hampir 1,000 ahli terapi warga asing, tetapi kini tidak boleh bekerja ekoran pembekuan tersebut.

Mereka berkata tidak sampai 100 daripada sekitar 1,000 premis yang beroperasi selepas pengumuman Putrajaya itu. Lebih teruk lagi, mereka sudahpun kerugian besar susulan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Presiden Persatuan Kesihatan dan Spa Malaysia (MAWSPA) Dorothea Justin berkata terdapat kira-kira 10,000 ahli terapi warga asing yang bekerja di negara ini sehinggalah PKP dikuatkuasakan.

“Kira-kira 80% ahli terapi warga asing bekerja di 1,000 premis.

“Jika kerajaan terus membeku mereka, kita jangkakan lebih banyak premis akan tutup,” kata Dorothea.

Kebanyakan ahli terapi warga asing berasal dari Nepal, Indonesia, Thailand dan China, tambahnya.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada minggu lalu berkata hanya rakyat Malaysia dibenarkan bekerja di spa, pusat kesihatan dan refleksologi yang dibenarkan beroperasi semula 1 Julai.

Beliau berkata pekerja perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut Dorothea, sekurang-kurangnya 13 premis tutup sejak PKP, dan dibimbangi lebih banyak akan menerima nasib sama jika Putrajaya tidak menarik semula pembekuan pengambilan pekerja asing.

Katanya, MAWSPA mempunyai 259 ahli, manakala Persatuan Spa (AMSPA) 301 ahli.

Dorothea menambah, sepanjang tempoh PKP banyak perniagaan kecil-kecilan alami kerugian antara RM100,000 hingga RM200,000, manakala perniagaan yang berskala besar rugi sehingga RM2 juta.

MAWSPA dan AMSPA telahpun menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu, memohon supaya mereka dibenarkan mengupah semula pekerja asing.

Pengusaha haram

Dorothea juga berkata semua ahli terapi warga asing mereka mempunyai lesen dan sijil kelayakan.

“Mereka juga memenuhi syarat Kementerian Kesihatan sebelum mereka dibenarkan bekerja.

“Kebanyakan ahli kami mempunyai ahli terapi warga asing mempunyai permit bekerja yang sah.

“Isu yang sedang kami hadapi sekarang ini ialah banyak ahli terapi tempatan sudah pulang ke kampung masing-masing sejak rentas negeri dibenarkan.

“Jadi, kami sekarang kurang tenaga kerja,” katanya.

Selain itu, Dorothea juga menyelar pengusaha haram yang mencemarkan industri.

“Setiap kali ada serbuan, media akan lapor warga asing lakukan aktiviti maksiat, sekaligus menyebabkan industri dipandang serong.” – 4 Julai, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen