AS catat 53,069 kes Covid-19 dalam 24 jam 


Kerajaan AS menyediakan pusat ujian saringan Covid-19 untuk mengesan kontak. – Gambar EPA, 3 Julai, 2020.

AMERIKA Syarikat merekodkan lebih 53,000 kes Covid-19 dalam tempoh 24 jam pada Khamis, menurut data Universiti John Hopkins.

Data universiti yang terletak di Baltimore itu menunjukkan 53,069 kes direkodkan sehingga 8.30 malam, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu sejak pandemik bermula 2,735,339.

Universiti berkenaan turut merekodkan 649 lagi kematian, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 128,677.  

Florida menjadi tumpuan pakar perubatan berikutan peningkatan kes yang mana ia merekodkan lebih 169,000 kes. 

Gabenor Ron DeSantis menyalahkan peningkatan interaksi sosial dalam kalangan orang muda yang berkumpul di parti, pantai, bar, kolam renang dan tempat lain.

Di Texas, lebih 2,500 orang maut, Gabenor Greg Abbott mengarahkan penduduk di negeri itu memakai pelitup muka dan mengharamkan perhimpunan melebihi 10 orang. – AFP, 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen