England mula tarik semula arahan kuarantin


Britain mula melonggarkan sekatan dengan memberi pengecualian kuarantin bagi kemasukan dari Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali. – Gambar EPA, 3 Julai, 2020.

KERAJAAN Britain pada Jumaat mengumumkan pengecualian kuarantin bagi kemasukan dari Jerman, Perancis, Sepanyol dan Itali bermula 10 Julai.

Bagaimanapun ia hanya terhad untuk kemasukan ke England sahaja, dari negara berisiko rendah Covid-19..

Mereka yang tiba di bahagian lain Britain seperti Scotland, Wales atau Ireland Utara, masih perlu dikuarantin selama 14 hari, atau berdepan denda.

Britain mengalami wabak koronavirus membawa maut di Eropah, dengan sekurang-kurangnya 44,000 orang meninggal dunia, tetapi kadar jangkitan semakin menurun dan ia secara beransur-ansur melonggarkan langkah pengurungan yang jalankan selama tiga bulan.

Sejak 8 Jun, ketibaan dari luar negara - termasuk rakyat UK - diwajibkan menjalani kuarantin untuk mengelakkan risiko kes import baharu dari luar negara.

Langkah itu mencetuskan kemarahan syarikat penerbangan yang sedang bergelut dengan kesan penutupan di seluruh dunia, serta langkah timbal balik oleh negara lain.

Menyedari ramai rakyat Britain yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara pada musim panas ini, kerajaan berkata pada Jumaat ia mengharapkan negara dalam senarai yang dikecualikan akan menarik balik sekatan bagi pelancong UK.

Namun, ini menunjukkan perbincangan mendapatkan tindakan timbal balik masih berlangsung.

“Sama ada anda seorang pelancong yang ingin melancong ke luar negara atau perniagaan yang ingin beroperasi semula, ini adalah berita baik bagi rakyat dan perniagaan Britain,” kata Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps dalam satu kenyataan.

Beliau berkata senarai yang dikecualikan akan dikaji semula, dengan berkata: “Kami tidak akan teragak-agak bertindak pantas melindungi diri kita jika kadar jangkitan meningkat di negara yang kita hubungkan kembali.”

Lebih banyak negara akan dikecualikan dalam senarai yang akan diterbitkan pada Jumaat, dengan laporan berita menunjukkan kemungkinan terdapat 75 negara.

Pejabat Luar Negeri juga berkata mulai 4 Julai, pihaknya akan mengecualikan negara berisiko rendah daripada amarannya kecuali bagi perjalanan penting ke luar negara.

Semua penumpang yang tiba di UK, kecuali yang berada dalam senarai pengecualian, tetap diminta memberikan maklumat kontak kepada pihak berkuasa.

Mereka yang melakukan perjalanan rentas negara yang tidak terkecuali dalam dua minggu sebelumnya masih harus melakukan pengasingan diri.

Perdana Menteri Boris Johnson dijangka mengumumkan pengecualian kuarantin awal minggu ini, tetapi para menteri memberi bayangan kerajaan Scotland mungkin tidak akan bersetuju.

Edinburgh, Cardiff dan Belfast akan “menentukan pendekatan mereka sendiri bagi pengecualian itu”, kata kerajaan Britain pada Jumaat. – AFP, 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen