Lebih banyak syarikat besar terap teknologi, kerja dari rumah pasca Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Banyak syarikat dijangka memformalkan polisi untuk membolehkan persekitaran kerja tanpa sempadan yang meliputi bekerja dari luar pejabat dengan lebih banyak 'kerjasama manusia-mesin' berbanding penglibatan secara bersemuka. – Gambar EPA, 3 Julai, 2020.

BEKERJA dari luar pejabat dan persekitaran tanpa sempadan akan menjadi norma baharu di kalangan tenaga kerja pada masa depan berikutan pandemik Covid-19, kata penyelidikan pasaran dan badan penasihat International Data Corporation (IDC) Asean.

Pengurus penyelidikannya, Mohit Raizada berkata tinjauan dibuat pada Mei mendapati kira-kira 50% firma Asia dijangka menambah atau memperluaskan kerja dari luar pejabat dalam polisi sumber manusia mereka.

Tinjauan dilakukan terhadap 149 syarikat yang masing-masing mempunyai lebih 500 pekerja.

Ketika organisasi menyesuaikan semula operasi di tengah pandemik Covid-19, banyak dijangka memformalkan polisi untuk membolehkan persekitaran kerja tanpa sempadan yang meliputi bekerja dari luar pejabat atau rumah, dengan lebih banyak “kerjasama manusia-mesin” berbanding penglibatan secara bersemuka.

“Kerjasama manusia-mesin akan berbeza-beza dari satu industri dengan industri lain,” katanya dalam wawancara menerusi e-mel dengan The Malaysian Insight.

Ini juga bermaksud penggunaan automasi lebih besar, kecerdasan buatan (AI), augmented reality (AR), realiti maya (VR) dan robotik untuk menyokong tempat kerja pasca wabak yang akan memerlukan tindak balas cepat terhadap perubahan senario.

“Oleh kerana keperluan yang cepat berubah, organisasi akan fokus mencari, menarik, melatih, dan mempertahankan bakat terbaik dengan menawarkan lingkungan kerja yang lebih kreatif, kolaboratif dan produktif.”

Raizada berkata kebanyakan organisasi masih beroperasi dalam persekitaran perniagaan tradisional yang merangkumi proses manual dan berulang, aplikasi tidak bersepadu, dan aktiviti kerja yang terikat pada waktu dan ruang.

Pendekatan bekerja secara tradisional memberi kesan kepada keberkesanan, kerjasama dan inovasi pekerja, serta membataskan pertumbuhan organisasi.

“Kemajuan teknologi sering mengubah cara kita bekerja tetapi kini penggunaan teknologi akan mengubah budaya kerja, ruang kerja dan tenaga kerja.”

Kecenderungan lain bagi organisasi tradisional adalah kebiasaan beroperasi di silo dan di bawah struktur yang berfokuskan kepada fungsi dan bukannya hasil.

Organisasi masa depan, sebaliknya, akan beroperasi secara fungsional, dengan lebih fokus kepada hasil dan pasukan yang dapat dikonfigurasi semula yang menekankan kepada kerjasama dan inovasi. – 3 Julai, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen