BERSATU tidak mempunyai banyak pilihan selain menyertai satu gabungan sekiranya tidak mahu menjadi bahan sejarah, kata penganalisis politik.
Pengkaji ini melihat gabungan itu perlu memberikan jaminan keselamatan sama ada kepada pemimpin parti atau matlamat perjuangan kepada Bersatu untuk kekal relevan.
Mereka melihat tiga pilihan di hadapan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin – menyertai Umno kembali, bersama Muafakat Nasional (MN), atau membentuk gagasan baharu bersama PAS dan Umno.
Muhyiddin boleh membuat pilihan berkenaan dengan menggunakan kekuatan popularitinya sebagai perdana menteri hari ini, namun ia tetap bergantung kepada kompromi antara ketiga-tiga parti Melayu terbesar itu.
Jika tidak, segala usaha tersebut akan menemui jalan buntu, kata penganalisis dari Universiti Utama Malaysia, Azizuddin Sani.
“Selagi mereka tidak boleh berkompromi, kita tak perlu bincang penggabungan Bersatu dengan Umno atau sertai MN.
“Kalau sanggup berunding dan berkompromi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dalam kerjasama Perikatan Nasional (PN), mereka perlu bijak untuk membahagi-bahagikan kerusi.
Beliau bagaimanapun menjangka Bersatu tidak akan menyertai Umno, walaupun kedua-dua parti mempunyai asas yang sama.
“Kalau ada kompromi Umno dan Bersatu untuk bersama balik tiada masalah, cuma dalam keadaan sekarang mungkin mereka masih parti berlainan cuma bekerjasama dalam PN.
“Pada pendapat saya Bersatu tidak akan sertai Umno, sebab mereka dah jadi parti lain, Bersatu bukan seperti Semangat 46, parti itu sertai semula Umno selepas tiada lagi sokongan orang ramai.
“Bersatu berada dalam situasi berbeza, perdana menteri dari Bersatu dan Umno pula sebahagian daripada kerajaan itu,” kata Azizuddin kepada The Malaysian Insight.

Menurut Azizuddin lagi, kerjasama secara berkumpulan antara PAS, Umno dan Bersatu juga lebih mudah untuk diuruskan berbanding Bersatu kembali semula kepada Umno.
Katanya, situasi itu mudah buat Bersatu memandangkan Muhyiddin meraih populariti dari pengurusan wabak Covid-19 yang berkesan oleh pihak kerajaan.
Namun, keadaan boleh berubah pasca Covid-19 apabila fokus beralih kepada pembangunan ekonomi, katanya yang menambah Bersatu banyak bergantung kepada prestasi Muhyiddin.
“Selepas ini proses bangunkan ekonomi cabaran besar. Tidak tahu jika Muhyiddin boleh selesaikan atau tidak. Kalau boleh selesaikan beliau akan menjadi popular.
“Kalau tidak beliau akan ditimpa masalah, Bersatu banyak bergantung kepada Muhyiddin, jadi saya tidak rasa mereka akan bergabung dengan Umno.
“Kalau cerita penggabungan, lebih baik gabung tiga-tiga parti; PAS, Bersatu, Umno. PAS pun dah macam Umno sekarang,” katanya.
Mohamad Tawfik Yaakob, penganalisis dari Universiti Malaya juga melihat tiada arah tuju yang jelas daripada Bersatu dalam meneruskan agenda politik parti.
Oleh itu, lebih mudah untuk Bersatu menyertai Umno kerana ia merupakan situasi menang-menang kepada kedua-dua parti.
“Itu jalan yang dirasakan terbaik kerana ia bukan sahaja membantu untuk kukuhkan Umno, tapi Bersatu boleh terlibat sertai Umno untuk survival pemimpin mereka.
“Ini kerana kita tak pasti dalam PRU15 nanti adakah peluang sama akan diterima pimpinan Bersatu, kerana di kawasan-kawasan tertentu sudah pasti Umno akan bertanding.
“Penggabungan itu situasi menang-menang. Umno tak rugi, Bersatu akan ada kelebihan, cuma kena ada proses rundingan,” kata Tawfik.
Beliau menambah, sekiranya keadaan itu berlaku, kedudukan orang Melayu juga semakin kukuh.
“Kalau berlaku percantuman Umno makin kuat, sudah pasti Melayu teguh dengan Umno dan lebarkan pengaruhnya di kawasan bandar dan luar bandar.
“Antara kelemahan dalam keadaan hari ini ialah Bersatu akan tinggal sejarah dalam perkembangan politik negara, kerana akhirnya, antara perjuangan dan pemimpin, yang bertahan hanyalah pemimpin.
“Perjuangan berakhir bila tiada lagi matlamat yang ingin disasarkan,” kata Tawfik lagi.

Ketua Eksekutif Ilham Center Mohd Azlan Zainal pula berkata, sekiranya Bersatu kekal dengan corak pada PRU14, parti itu pasti tewas.
Ini kerana, 13 kerusi dimenangi Bersatu pada waktu itu berdasarkan momentum Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Dr Mahathir Mohamad, katanya.
Maka, gabungan politik yang lebih utuh diperlukan sebagai jaminan masa depan parti.
“Apabila Bersatu keluar PH, sokongan bukan Melayu kepada parti ini dikesan merosot dan merudum.
“Sekiranya Bersatu ingin bertanding bersendirian di kawasan lagi dikawasan tersebut, potensi untuk kalah lebih jelas.
“Bagi memastikan ia terus relevan pastinya Bersatu mesti bertanding bersama gabungan politik yang lain, Umno pula jelas menolak PN,” katanya.
Beliau juga berpendapat, Muhyiddin tidak akan dapat mengadakan pilihan raya.
“Jadi, hampir mustahil untuk Muhyiddin memanggil pilihan raya dalam situasi begini dan membubarkan parlimen dalam masa terdekat,” kata Azlan kepada The Malaysian Insight.
Katanya, Umno pula kelihatan tidak berminat untuk membentuk PN secara rasmi, dan sebaliknya lebih berminat kekal dengan BN sambil berkerjasama dengan PAS dan mendominasi MN.
Menurut Azlan, Muhyiddin bagaimanapun boleh menggunakan ruang dan peluang untuk mencipta situasi menang-menang bagi mengekalkan sokongan.
“Pasti di saat menjadi perdana menteri dan menguasai kerajaan dan parti kelebihan itu tetap ada padanya.
“Berdepan dengan PRU15 juga pasti getir buat Muhyiddin dan partinya kecuali satu gabungan dan kerjasama politik yang lebih meyakinkan berjaya dibentuk untuk berhadapan dengan PH.
“Semua ini tetap menjadi teka-teki sehingga ada langkah politik baru yang dikenalpasti menjelang pembukaan Parlimen nanti,” kata Azlan lagi. – 3 Julai, 2020.
Komen