PKR arah Tian Chua lepas jawatan dalam agensi kerajaan


Chan Kok Leong

PKR mengarahkan Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua diarahkan meletak jawatan sebagai pengerusi MPC, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2020.

NAIB Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua diarahkan meletak jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), menurut sumber.

Arahan dinyatakan dalam surat yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail kepada Tian Chua, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Dalam surat bertarikh 29 Jun itu, Saifuddin berkata Majlis Pimpinan Pusat sehari sebelumnya telah memutuskan Tian Chua mesti melepaskan jawatan lantikan politik di bawah kerajaan Perikatan Nasional, atau berdepan tindakan tegas.

Arahan itu menyusul pemecatan lima pemimpin PKR yang rapat dengan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada 28 Jun, termasuk ketua Wanita PKR Haniza Talha; ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid; ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nur Zarina Zakaria; dan dua Adun Pulau Pinang, Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Nibong Tebal). 

Manakala Tian Chua dan dua yang lain, iaitu Pengarah Komunikasi Wanita Pulau Pinang Carolyn Khor dan Adun Machap Jaya Ginie Lim diberi amaran.

Tindakan disipilin tersebut dipercayai sebahagian daripada langkah PKR untuk menyingkir penyokong Azmin menjelang pilihan raya.

Tian Chua yang dilantik sebagai pengerusi MPC oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 26 April tahun lepas, mengesahkan menerima surat arahan letak jawatan itu menerusi e-mel pada Rabu.

“Siapa sahaja yang sebarkan ini (surat) memang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” kata bekas ahli Parlimen Batu itu kepada The Malaysian Insight menerusi mesej WhatsApp.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada akan mematuhi arahan parti supaya letak jawatan pengerusi MPC.

Selasa lalu, Tian Chua melancarkan Laporan Produktiviti Nasional 2020 bersama Azmin, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri. – 3 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen