Umno fail permohonan prosiding hina mahkamah terhadap CIMB


CIMB Bank masih belum tidak melepaskan RM192 juta wang Umno yang disita SPRM walaupun terdapat perintah Mahkamah Tinggi bulan lepas untuk berbuat demikian dengan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2020.

UMNO memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap CIMB Bank setelah bank tersebut tidak melepaskan RM192 juta wang parti politik itu walaupun terdapat perintah Mahkamah Tinggi bulan lepas untuk berbuat demikian dengan segera.

Peguamnya Hariharan Tara Singh berkata tindakan itu diambil setelah bank tersebut tidak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Jun yang menolak permohonan pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan perintah itu berhubung permohonan untuk melucut hak wang berkenaan.

Pihak pendakwaan berusaha mendapatkan semula RM192,965,413.61 yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Umno.

“Mahkamah belum mendengar permohonan kami untuk kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah hari ini sementara menunggu usaha baru pendakwaan untuk menangguhkan keputusan 19 Jun di Mahkamah Rayuan esok,” kata Hariharan kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Sementara itu, peguam CIMB, Rabindra Nathan berkata anak guamnya sedia melepaskan dana tersebut tetapi menunggu perintah daripada SPRM untuk bank berbuat demikian.

“Kami sebenarnya sedia menyerahkan wang itu kepada mereka, tetapi SPRM mengambil keputusan bahawa mereka telah memfailkan rayuan. Jadi, kami berada dalam keadaan yang sukar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Roslan Mat Nor memberi jaminan bahawa bank itu akan dapat melepaskan dana Umno tanpa perlu bimbang terhadap kesan undang-undang daripada suruhanjaya itu.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menangguhkan permohonan prosiding menghina itu sehingga Isnin ini kerana Mahkamah Rayuan telah menetapkan esok untuk mendengar permohonan untuk menangguhkan keputusannya.

SPRM berusaha untuk mendapatkan semula RM270 juta daripada 41 individu dan organisasi yang didakwa disalurkan daripada akaun Najib. – Bernama, 2 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen