TIGA kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini tetapi tiada kes membabitkan rakyat Malaysia dalam penularan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.
Dr Noor Hisham berkata daripada tiga kes baharu itu, satu membabitkan warga Malaysia yang pulang dari luar negara, manakala dua lagi menerusi penularan tempatan di kalangan warga asing.
Bagi kes penularan dalam negara membabitkan warga asing, satu kes dikesan melalui kluster Bukit Bintang, dan satu lagi melalui saringan di lokap di Kota Kinabalu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia kini 8,643, tambah Dr Noor Hisham.
Beliau juga berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah kurang daripada 100 kes, iaitu 85 kes, yang sedang menerima rawatan.
Daripada 85 kes aktif tersebut, dua pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal 121.
Selain itu, seramai 62 pesakit telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah pulih dan keluar daripada wad adalah seramai 8,437, kata Dr Noor Hisham. – 2 Julai, 2020.

Komen