620 individu dikehendaki jalani saringan kedua Covid-19, kata menteri


Seramai 620 individu yang sudah menjalani kuarantin di rumah diminta tampil bagi menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Inisght, 2 Julai, 2020.

KERAJAAN minta 620 individu yang sudah menjalani kuarantin di rumah untuk tampil bagi menjalani ujian saringan Covid-19 kedua, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata polis akan bertindak terhadap individu yang gagal menjalani ujian kedua wajib yang perlu diambil pada hari ke-13 kuarantin di rumah.

“Kerajaan meminta kerjasama individu terbabit untuk menjalani ujian saringan Covid-19 kedua,” kata pada sidang akhbar harian hari ini.

“Mereka boleh menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia untuk maklumat lanjut. PDRM akan mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan berbuat demikian.”

Polis menjalankan pemantauan terhadap 1,063 individu yang sedang dipantau di rumah, semuanya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Semalam 724 rakyat Malaysia pulang dari luar negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Mereka tiba dari beberapa negara termasuk Vietnam, Indonesia, Singapura, Qatar, UAE, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Brunei.

Daripada jumlah itu, 723 dikenakan kuarantin rumah sementara seorang dibawa ke hospital selepas didapati positif ujian Covid-19.

Sejumlah 8,498 individu daripada 8,535 yang tiba di KLIA dari 10 Jun hingga 1 Julai, didapati negatif ujian saringan Covid-19, sementara 37 individu yang positif dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, 71 individu ditahan semalam kerana melanggar peraturan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), di mana 29 individu ditahan reman sementara 41 lagi didenda.

Mereka yang ditahan terbabit dalam 34 insiden perhimpunan tanpa penjarakan sosial dan 14 tidak mematuhi SOP.

Kesalahan lain termasuk 12 insiden berkaitan outlet hiburan, empat ada kaitan dengan pub dan kelab malam sementara tujuh di pusat refleksologi dan pusat urut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang gagal menjalani ujian saringan kedua boleh didenda, dipenjara atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu,pengembara yang pulang ke Malaysia diseru agar terus memberi kerjasama kepada pihak KKM dan patuh kepada syarat-syarat di bawah Home Release Order (HSO).

“Ahli keluarga kepada pengembara di bawah perintah ini juga diminta menasihati dan memastikan mereka akur kepada syarat perintah HSO. 

“Kerjasama semua pihak amat diharapkan untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, seramai 5,184 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan hari ke-13 didapati negatif.  – 2 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen