PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Whip PN Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin.
Gambar pertemuan yang berlangsung selama dua jam itu dimuat naik oleh Muhyiddin di akaun Facebooknya.
Menurutnya, pertemuan diadakan untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama dalam PN.
“Semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada YAB Perdana Menteri dan bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” tulisnya di Facebook.
Selain Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, antara ketua parti lain yang hadir termasuk Ahmad Zahid Hamidi dari Umno, Abdul Hadi Awang (PAS), Wee Ka Siong (MCA) dan Vigneswaran Sanasee (MIC).
Manakala ketua-ketua parti dari Sarawak terdiri daripada Abang Johari Abang Openg (presiden Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan pengerusi Gabungan Parti Sarawak), Sim Kui Hian (SUPP), Tiong King Sing (PDP) dan James Jemut Masing (PRS).
Ketua-ketua parti dari Sabah pula Maximus Johnity Ongkili (PBS), Joseph Kurup (PBRS) dan Jeffrey Kitingan (Star).
Muhyiddin menjadi perdana menteri pada 1 Mac selepas menarik partinya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan. Beliau seterusnya membentuk PN bersama Umno dan PAS, serta komponen Barisan Nasional, dan mendapat sokongan parti dari Sabah dan Sarawak.
PN mempunyai 115 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, manakala PH 107 kerusi. – 1 Julai, 2020.
Komen