Kementerian teliti takwim sekolah 2021, kata menteri


Diyana Ibrahim

Takwim persekolahan baharu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Pendidikan akan menetapkan semula tarikh permulaan sesi persekolahan tahun depan, susulan perubahan tarikh peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditunda sehingga awal Januari 2021, umum Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Tarikh baharu itu akan dimuktamadkan dalam takwim penggal dan cuti persekolahan tahun 2021, katanya.

“Memandangkan peperiksaan SPM tahun 2020 dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021, kementerian telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut. 

“Ini termasuklah memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan tahun 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar. 

“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan Tahun 2021,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Jelas beliau, meminda takwim persekolahan tahun 2020 merupakan satu cabaran yang amat besar bagi kementerian. 

“Bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selama ini takwim persekolahan setiap tahun hampir sama coraknya. Namun tahun ini, keadaannya cukup berbeza,” katanya.

Pada sidang media itu, Mohd Radzi mengumumkan semua sekolah akan mula dibuka secara berperingkat antara 15 dan 22 Julai ini atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Pengumuman hari ini dibuat genap seminggu selepas sekolah dibuka untuk murid Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan awam, yang tarikh peperiksaannya telah dipinda sehingga sebelum April tahun depan.

Sekolah di seluruh Malaysia ditutup sejak hampir empat bulan lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurut Mohd Radzi, pihaknya mendapat pengajaran dan pembelajaran murid secara dalam talian dan di rumah, yang dilaksanakan dalam tempoh empat bulan ini, kurang berkesan berbanding dengan kaedah bersemuka di sekolah.

Untuk itu, kementerian akan meneliti dengan menyeluruh perancangan jangka masa sederhana dan panjang, termasuk menyemak semula takwim persekolahan bagi tahun depan.

“Apa yang menjadi keutamaan adalah memastikan murid mempunyai tempoh pembelajaran yang mencukupi sebagai persediaan untuk tahun berikutnya,” katanya. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen