Lelaki didenda RM1,000 gagal jelaskan ujian palsu Covid-19


SEORANG pengurus akaun didenda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, atas tuduhan gagal memberi keterangan bagaimana dia memperoleh screenshot mengenai saringan Covid-19 yang disyaki palsu bulan lepas.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Rizal Ghazali, 45, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Rizal didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium, Off Jalan Gombak, pada 17 Mei lepas, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda rendah.

Ketika ditanya Mohamed Fared mengenai tindakannya itu, Rizal menjawab: “Saya terdesak kerana sudah lebih tujuh bulan tidak bertemu dengan anak-anak yang tinggal bersama bekas isteri… isteri terbaca perbualan saya dan anak di WhatsApp tentang keadaan saya seperti hampir demam lalu dia menyuruh saya membuat ujian Covid-19 sebelum bertemu dengan anak-anak.”

Majistret  kemudiannya menasihati Rizal kerana perbuatannya itu bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi turut membahayakan orang lain. 

“Walaupun terdesak ini bukan caranya,” katanya. 

Tertuduh membayar denda tersebut. – Bernama, 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen