Sekolah dibuka semula 15 Julai ini, umum menteri pendidikan


Diyana Ibrahim

Pembukaan sekolah dibuat secara berperingkat menjelang akhir bulan ini dengan operasinya bergantung pada model pilihan sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

SEMUA sekolah rendah dan menengah akan dibuka semula secara berperingkat bermula 15 Julai ini, umum Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

Operasi sekolah yang dibuka semula bergantung pada tiga model yang dicadangkan oleh kementerian iaitu satu sesi, dua sesi atau penggiliran mengikut kelas atau aliran, katanya.

Murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 serta murid Tahun 5 dan Tahun 6 akan mula bersekolah pada 15 Julai, sementara murid Tahun 1 hingga Tahun 4 kembali ke sekolah seminggu kemudian, katanya.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan yang mendalam dengan pihak Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, mengambil kira keadaan (penularan) Covid-19 yang bertambah baik sekarang,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Kebenaran membuka semula sekolah terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta, dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan kementerian, tambahnya, termasuk pusat tuisyen dan pusat bahasa.

Radzi mengumumkan pembukaan semula sekolah genap seminggu selepas sesi pembelajaran bersemuka dimulakan untuk Tingkatan 5 dan 6 yang akan menduduki peperiksaan awam. Tarikh peperiksaan itu telah dipinda sehingga sebelum April tahun depan.

Radzi bagaimanapun berkata pembukaan semula sekolah ini hanya bagi tujuan pembelajaran sahaja, manakala kegiatan ko-kurikulum masih digantung sehingga keputusan lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pelajar Tingkatan Enam Semester 1 juga akan mula mendaftar pada 15 Julai ini.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2019 boleh menyemak tawaran ke Tingkatan 6 di laman web Kementerian Pendidikan mulai hari ini, tambahnya. 

Sekolah dibuka hanya untuk tujuan pembelajaran sahaja, aktiviti kokurikulum masih belum diputuskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2020.

Operasi ikut keupayaan sekolah

Mengenai tiga model yang dicadangkan, Mohd Radzi berkata model itu diatur mengikut kesesuaian ruang dan kasapiti sekolah.

“Ada sekolah yang dapat menampung kehadiran murid seperti biasa dan ada juga yang sebaliknya,” katanya.

Bagi sekolah yang mempunyai cukup bilik darjah yang boleh menjamin murid menjaga jarak fizikal, sekolah berkenaan boleh dibuka semula menggunakan model satu sesi iaitu semua murid bersekolah serentak dalam satu sesi, jelasnya.

Sekolah dua sesi pula beroperasi pada pagi dan petang, tambahnya.

Model penggiliran pula dipakai oleh sekolah yang tidak dapat menempatkan semua murid walaupun mengikut kaedah dua sesi, kata Mohd Radzi.

Bagi sekolah yang menggunakan kaedah penggiliran, murid Tingkatan 5 dan 6 akan hadir setiap hari sementara murid Tingkatan 1 hingga 4 akan hadir bergilir-gilir, mengikut kelas dan aliran.

Jelas menteri, bentuk penggiliran itu akan ditentukan oleh pihak sekolah, dengan keutamaan diberi kepada murid yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan, termasuk mereka yang di Tingkatan 4 tahun ini.

“Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah,” katanya. 

Mohd Radzi berkata kementerian akan memaklumkan maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen