SEMUA masjid dan surau kebenaran Jumaat di seluruh Selangor dibuka semula untuk solat Jumaat dan solat fardhu secara berjemaah bermula lusa, titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, antaranya bilangan jemaah tertentu mengikut kategori masjid dan surau.
“Kebenaran ini berkuat kuasa pada 3 Julai 2020,” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan, hari ini.
Tiga masjid yang besar dibenar mendirikan solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah dengan 1,000 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
Tiga masjid itu ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya.
Bagi masjid lain, bilangan jemaah yang ditetapkan ialah 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid.
Bagi surau kebenaran Jumaat dan surau biasa, jumlah kehadiran bagi solah Jumaat dan solat fardhu berjemaah ialah 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
Sultan Selangor juga bertitah agar semua jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan, antaranya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing dan menjaga jarak.
“Mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau,” kata Mohamad Munir.
Dalam pada itu, Mohamad Munir juga memaklumkan Sultan Selangor turut bertitah agar ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya dijalankan di masjid sahaja.
“Bagi surau yang telah pun merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan,” katanya.
Setakat semalam, Selangor masih mempunyai 24 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat. Selangor juga mencatatkan angka tunggal jangkitan baharu untuk 10 hari berturut-turut sejak 21 Jun.
Dua daerah iaitu Hulu Langat dan Sabak Bernam kini dikategorikan zon hijau iaitu tiada lagi kes jangkitan Covid-19.
Selangor mencatatkan keseluruhan 2,047 kes positif Covid-19, dengan 1,862 atau bersamaan 90% sembuh sementara 24 meninggal dunia. – 1 Julai, 2020.
Komen