Lebih 1,000 banduan di penjara California dijangkiti Covid-19


JUMLAH kes Covid-19 meledak di penjara tertua di California, San Quentin, apabila lebih 1,000 banduan diuji positif virus tersebut, kata pihak berkuasa di negeri pada Selasa.

“Ia menjadi fokus dan kebimbangan kami sekarang,” kata Gabenor Gavin Newsom, menegaskan 42% daripada kira-kira 3,500 tahanan di San Quentin, dekat San Francisco, dianggap berisiko dari segi perubatan. 

Tidak seperti penjara lain di California, San Quentin sebahagian besarnya terhindar daripada kesan koronavirus sehingga awal Jun. 

Bagaimanapun, pemindahan banduan dari penjara yang terjejas virus, seperti California Institution for Men di Chino, menjadi pencetus.

“Malangnya, mereka tiba tanpa menjalani ujian dan ditempatkan di San Quentin yang seterusnya menimbulkan wabak di kemudahan kedua negeri,” kata Matt Willis, pengarah kesihatan untuk Marin County, di mana San Quentin berada, memberitahu radio NPR.

Pusat penahanan di Chino, dekat Los Angeles, adalah pusat wabak Covid-19 yang terkenal sejak awal ia bermula. Lebih 500 tahanan di sana setakat ini diuji positif virus dan tujuh meninggal dunia.

Penjara San Quentin kini merangkumi separuh daripada kes Covid-19 yang direkodkan di penjara di seluruh California, yang mempunyai jumlah penduduk sekitar 113,000 orang.

California adalah negeri di Amerika Syarikat yang paling padat penduduknya dan juga negeri paling teruk terjejas koronavirus, dengan lebih 200,000 kes disahkan dan hampir 6,000 kematian.

Dalam usaha mengelakkan kadar kematian yang tinggi di kalangan tahanan, pihak berkuasa negeri memutuskan untuk membebaskan kira-kira 3,500 tahanan, yang ditangkap atas kesalahan kecil dan mempunyai kurang 180 hari bagi menjalani hukuman penjara.

Newsom mengumumkan pada Isnin yang 3,500 calon dikenal pasti untuk dibebaskan, 110 daripadanya berada di San Quentin. – AFP, 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen