Dedah laporan kebakaran HSA 2016, kata bekas menteri kesihatan


Sheridan Mahavera

Pada 2016 berlaku kebakaran di HSA, Johor Bahru dan menyebabkan enam enam pesakit maut di pusat rawatan rapi meninggal dunia. – Gambar Facebook, 1 Julai, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu menyusul pelan kerajaan terdahulu untuk mendedahkan hasil siasatan insiden kebakaran di Hospital Sultanah Aminah pada 2016 yang menyebabkan enam maut, kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Kenyataan Dzulkefly itu susulan kejadian kebakaran kali kedua yang berlaku di hospital kerajaan di Johor Baru itu pada 28 Jun lalu dan siasatan polis terhadap pengarang laman web kesihatan Code Blue kerana menulis tentang hasil laporan berkenaan.

PN juga perlu melaksanakan langkah jangka panjang dan pendek yang disyorkan oleh laporan itu iaitu termasuk membuat pendawaian semula bagi keseluruhan bangunan dan pusat penjagaan ambulatori bagi mengurangkan kesesakan di HSA, katanya.

Kerajaan sebelum ini juga meluluskan pelan pembinaan bangunan kedua hospital untuk Johor Bahru, kata Dzulkefly, yang menjadi menteri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pentadbiran PH sedang bersedia untuk mendedahkan hasil siasatan kes 2016 itu sebelum digulingkan oleh PN pada Februari lalu, katanya.

“Laporan panel siasatan 2016 itu sepatutnya didedahkan kepada umum kerana ia keputusan yang dicapai oleh Kabinet sebelum ini.

“Pada mesyuarat pasca Kabinet Kementerian Kesihatan itu, kami sebenarnya merancang untuk melaksanakan keputusan itu,” kata Dzulkefly kepada The Malaysian Insight.

“Tiada perbalahan tentang mengubah status laporan rasmi itu. Kelewatan berlaku kerana keputusan dibuat untuk memberitahu hasil siasatan itu kepada waris mangsa terlebih dulu sebelum didedahkan kepada umum.”

Satu lagi sebab kelewatan ialah kementerian sedang memuktamadkan format laporan, sama ada mendedahkannya dalam bentuk digital atau cetak.

“Tetapi perlu saya tambah di sini bahawa kita sepatutnya mendedahkannya sekarang, selepas kerajaan terdahulu mengubah status laporan itu.”

Insiden kebakaran pada 2016 itu kejadian paling teruk pernah berlaku dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia di mana enam pesakit dirawat di unit rawatan rapi, meninggal dunia.

Satu inkuiri ditubuhkan untuk menyiasat keadaan di sebalik kebakaran itu tetapi laporan hasil siasatan belum didedahkan kepada umum.

Pengarah Code Blue Boo Su Lyn disoal siasat oleh polis pada 26 Jun selepas laman web itu menyiarkan laporan siasatan itu di mana antara lain mendakwa alat pemadam api di hospital itu rosak.

Dua hari selepas itu, satu lagi kebakaran berlaku di hospital sama, dan kali ini di wad wanita yang terletak berhampiran Klinik Kesihatan Mahmoodiah.

Memandangkan berlaku kebakaran kali kedua di HSA, Dzulkefly berkata kementerian perlu melaksanakan syor yang dibuat dalam laporan siasatan berkenaan secepat mungkin.

“Susulan kebakaran kali pertama itu, kami membuat pelan jangka pendek dan panjang untuk HSA mengikut cadangan dalam laporan siasatan berkenaan,” katanya. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen