New Zealand anjur sidang Apec 2021 secara maya


Sidang kemuncak Apec secara dalam talian, yang sepatutnya berlangsung di Auckland, adalah tindak balas 'pragmatik' terhadap krisis koronavirus. – Gambar EPA, 30 Jun, 2020.

SIDANG kemuncak tahunan Apec pemimpin Asia-Pasifik akan diadakan secara maya tahun depan untuk mengelakkan risiko perjalanan yang berkaitan dengan wabak koronavirus global, kata tuan rumah bagi 2021, New Zealand pada Selasa.

Menteri Luar Negeri Winston Peters berkata sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik secara dalam talian, yang sepatutnya berlangsung di Auckland, adalah tindak balas “pragmatik” terhadap krisis tersebut.

“Covid-19 memberi kesan serius kepada bagaimana kita menjalankan diplomasi antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

“Memandangkan persekitaran global sekarang, rancangan melibatkan jumlah pengunjung yang besar di New Zealand mulai akhir 2020 dan seterusnya tidak praktikal.”

Lebih 20,000 orang dijangka mengunjungi New Zealand untuk sidang kemuncak 21 negara pada November 2021 dan banyak perjumpaan utama.

“Sekiranya kita mengadakan Apec secara langsung, kita akan melihat ribuan orang memasuki NZ bermula akhir 2020 dan seterusnya, dengan antaranya pusat Covid-19,” kata Peters.

“Kami tidak dapat menjamin mereka ini dapat memasuki NZ tanpa dikuarantin.”

Keputusan mengadakan persidangan secara maya juga meringankan masalah logistik bagi penganjur, yang bergelut mencari bilik hotel yang mencukupi di Auckland selepas pembinaan tempat yang dirancang ditangguhkan susulan kebakaran besar pada Oktober tahun lalu. – AFP, 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen