Muafakat Nasional sedia bekerjasama dengan Bersatu, kata Annuar Musa


Ravin Palanisamy

Annuar Musa yang juga menteri Wilayah Persekutuan ketika mengadakan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Jun, 2020.

MUAFAKAT Nasional sedia berbincang jika Bersatu mahu menyertai gagasan kerjasama Umno-PAS itu, kata Annuar Musa.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata Barisan Nasional sepatutnya tiada masalah untuk bekerjasama dengan Bersatu kerana telah terbukti berjaya menjalinkan kerjasama yang baik dengan PAS untuk membentuk Muafakat Nasional.

“Kita ada pengalaman bagaimana hendak jalin kerjasama dengan parti politik yang dulunya sangat berbeza dengan Umno, seperti PAS.

“Selama bertahun-tahun berbeza pendirian dan jurang perbezaan itu bukan sedikit, tetapi akhirnya berjaya membentuk kerjasama yang baik,” kata Annuar, yang juga Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional.

“Jadi, pengalaman itu harus dimanfaatkan sebaik-baiknya sekarang. Tiada masalah Muafakat Nasional bekerjasama dengan Bersatu.”

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Bersatu dilaporkan akan menghantar lima wakil untuk bermesyuarat bersama Sekretariat Muafakat Nasional hari ini.

Bagaimanapun, mesyuarat ditangguhkan ke minggu depan kerana beberapa wakil dari PAS tidak dapat hadir, kata Annuar.

Muafakat Nasional adalah gagasan kerjasama antara Umno dan PAS, selepas dua seteru politik itu kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ia dicetuskan daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai oleh dua parti berkenaan semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September tahun lalu.

Walaupun bukan sebuah gabungan formal, Muafakat Nasional membolehkan Umno dan PAS menjalin kerjasama politik seperti saling menyokong dalam pilihan raya kecil.

Ditanya berkenaan reaksi Umno jika Bersatu menyertai Muafakat Nasional, Annuar berkata isu tersebut telahpun dibincangkan dalam parti.

“Apa sahaja membabitkan ahli parti, ia perlu dibincangkan.” – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen