Muhyiddin guna Dr Mahathir untuk pecahkan Pakatan, dakwa orang Umno


Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamad mendakwa Muhyiddin Yassin terpaksa bergantung kepada penyokong yang terdiri daripada bekas pemimpin Umno dalam Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

PEMECATAN Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan pengerusi Bersatu merupakan satu strategi presiden parti itu, Muhyiddin Yassin untuk mengelakkan pilihan raya umum, kata pemimpin Umno.

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamad mendakwa perdana menteri itu berbuat demikian kerana mempunyai motif peribadi dan mahu memastikan Bersatu kekal berkuasa.

Tambahnya Muhyiddin terpaksa berbuat demikian kerana kedudukan yang lemah kerana terpaksa bergantung kepada penyokong yang terdiri daripada bekas pemimpin Umno dalam Bersatu.

“Muhyidddin yang amat bergantung kepada personaliti tikam belakang bekas Umno cuba mengelakkan PRU yang bakal menghancurkan mereka,” kata Nur Jazlan kepada portal pro-Umno Suara Merdeka.

Nur Jazlan juga memberitahu portal pro-Umno tersebut, Muhyiddin mempergunakan Dr Mahathir untuk memecah-belahkan Pakatan Harapan (PH).

“Setelah gagal untuk memecahbelahkan sekutu Perikatan Nasional (PN), Bersatu pimpinan beliau sekarang ini nampaknya berjaya memecah-belahkan PH dengan menggunakan Dr Mahathir untuk memaksa Anwar Ibrahim (presiden PKR) dan saki baki PKR meninggalkan PH,” katanya.

Beliau seterusnya mendakwa, DAP dan Amanah akan kehilangan pengaruh Anwar menyokong Muhyiddin.

“Pemimpin DAP teratas yang senyap sunyi sekarang tahu bahawa DAP akan dipinggirkan semula untuk kembali menjadi pembangkang tunggal seperti tahun 80-an dulu sekiranya Muhyiddin berjaya menarik sokongan Anwar,” kata beliau.

Perkara itu ditimbulkannnya untuk menggesa agar pilihan raya umum diadakan segera.

Tekanan itu timbul sewaktu PAS, Umno dan Bersatu masih gagal mencapai sepakat dalam menentukan agihan kerusi majoriti Melayu yang akan ditandingi.

PAS dan Umno sudahpun mengadakan pakatan untuk tidak menentang calon masing-masing namun tidak melibatkan Bersatu walau selepas membentuk kerajaan baharu.

PH pula masih tidak mencapai sepakat untuk menamakan calon perdana menteri baharu untuk mengambil alih kerajaan semula.

Terbaru, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan rancangan untuk menamakan Presiden Warisan Mohamad Shafie Apdal sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pertama.

Menurut rancangan itu, anaknya Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah akan dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri kedua.

PKR bagaimanapun berkeras agar presidennya Anwar dinamakan sebagai perdana menteri PH. – 30 Jun, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen