PRK Chini: Patuhi SOP ketika berkempen, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob menasihati mereka yang terlibat dalam kempen PRK Chini untuk tidak berjabat tangan atau berkumpul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2020.

PARTI politik yang terlibat dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Chini disarankan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun negara kini berada di bawah perintah sekatan yang lebih santai - perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Ismail Sabri Yaakob menasihati mereka yang bertanding agar tidak berjabat tangan atau berkumpul.

“Saya sudah melihat gambar di Facebook dan saya ingin menasihati agar kesemua parti untuk mengikuti SOP.

“Elakkan berjabat tangan atau bergambar dalam kumpulan tanpa penjarakan sosial. Walaupun kita dalam tempoh pemulihan, SOP masih berkuatkuasa,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

PRK DUN Chini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

PRK diadakan selepas kematian Adun BN Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia pada 6 Mei akibat serangan jantung.

Pada PRU lalu Abu Bakar mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,622 undi dan memperoleh 10,027 undi mengalahkan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR yang hanya memperoleh 1,065 undi. – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen