3 kategori diberi pengecualian bayar caj ujian Covid-19, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Putrajaya bersetuju mengecualikan bayaran ujian saringan Covid-19 untuk orang kurang (OKU), pegawai kerajaan yang pulang dari tugas khas dan pelajar yang pulang untuk pertama kalinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2020.

PUTRAJAYA bersetuju untuk mengecualikan bayaran ujian saringan Covid-19 untuk orang kurang (OKU), pegawai kerajaan yang pulang dari tugas khas dan pelajar yang pulang untuk pertama kalinya.

Menteri Kanan Ismail Sabri memberitahu wartawan pada petang ini bahawa Putrajaya akan mengembalikan wang kepada mereka yang pulang awal pagi ini dan dikenakan bayaran untuk ujian berkenaan.

“Kami telah mengenakan sejumlah bayaran kepada rakyat Malaysia yang pulang tetapi kami memutuskan untuk memberi pengecualian caj bagi tiga kategori.

“OKU yang mempunyai kad OKU dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pegawai kerajaan yang kembali dari luar negara atas tugasan rasmi. Turut dikecualikan pelajar yang pulang dari luar negara buat kali pertama dan perlu mengemukakan bukti pengajian,” katanya.

Sebelum ini Putrajaya menanggung kos untuk rakyat Malaysia yang dikuarantin di pusat kuarantin apabila mereka pulang dari luar negara.

Hari ini Kementerian Kesihatan berkata rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu membayar antara RM30 hingga RM150 untuk ujian Covid-19 apabila memasuki negara ini.

Bagi bukan warganegara bayarannya lebih tinggi bergantung pada jenis ujian.

“Peraturan baharu yang dikeluarkan pada 26 Jun dan berkuat kuasa mulai hari ini (Isnin) dikenali sebagai Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Yuran untuk Ujian Pengesanan Covid-19) 2020,” menurut kenyataan itu. – 12 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen