Usaha tangani Covid-19 perlahan, Jokowi ugut rombak Kabinet


Presiden Indonesia Joko Widodo mengugut akan merombak Kabinet atau membubar agensi kerajaan jika pandemik Covid-19 di republik itu gagal ditangani sepenuhnya. – Gambar AFP, 29 Jun, 2020.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo akan merombak Kabinet atau membubar agensi kerajaan jika pandemik Covid-19 di republik itu gagal ditangani sepenuhnya, lapor Reuters.

Laporan memetik Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi berkata demikian dalam mesyuarat Kabinet pada 18 Jun, dalam satu video yang dikeluarkan pejabat presiden semalam.

“Saya lihat masih banyak kita ini yang seperti biasa-biasa saja. Saya jengkelnya di situ. Ini apa ga punya perasaan, ini suasana krisis.

“Langkah apapun yang extraordinary (luar biasa) akan saya lakukan. Untuk 267 juta rakyat kita, untuk negara. Bisa saja membubarkan lembaga, bisa saja reshuffle (rombak),” kata Jokowi dalam mesyuarat tersebut.

“Sudah kepikiran ke mana-mana saya.”

Jokowi pada masa yang sama tidak berpuas hati dengan prestasi para menterinya yang lambat bertindak dalam menangani masalah ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Kes jangkitan virus itu di Indonesia terus meningkat ketika kerajaan melonggarkan perintah sekatan pergerakan dan membuka semula sektor ekonomi.

Sebanyak 1,385 kes baharu dilaporkan pada Sabtu, angka harian tertinggi yang dicatatkan setakat ini. Manakala 1,198 kes jangkitan dilaporkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan yang direkodkan sehingga kini 54,010.

Daripada jumlah itu, 2,754 kematian dicatatkan, yang tertinggi di Asia Timur.

Kerajaan Jokowi sebelum ini umum akan membelanjakan hampir AS$50 bilion untuk kesihatan awam, perlindungan sosial dan dana bantuan kepada rakyat. – 29 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen